KALAU diimbas kembali siri fenomena Projek: High Council yang mencuri perhatian ramai pada 2023, Mierul Aiman merupakan tonggak utama menerusi watak Fakhri.
Menerusi naskhah terbaharu berjudul KUDRAT 1968: High Council, Mierul sekali lagi diberi amanah besar menghidupkan peranan Tengku Uda atau Kuda.
Kali ini, dia bekerjasama rapat dengan Zarif Ghazzi yang memegang watak Ungku Abbas untuk sama-sama mengemudi naratif francais berkenaan.
Meski ada segelintir pihak menyifatkan Zariff sebagai ‘pencabar’ lakonannya, pemilik nama lengkap Mohammad Amirul Aiman Norazman itu tidak beranggapan begitu sebaliknya menegaskan mereka bergerak sebagai satu pasukan yang saling melengkapi.
Ujarnya, masing-masing tahu tanggungjawab dan tiada istilah siapa lebih bagus atau menonjol.
Saya percaya ini bukan tentang persaingan tetapi sebuah cerita.
“Kita bekerja sebagai satu pasukan. Ini bukan permainan secara solo, sebaliknya berpasukan.
“Tak pernah terlintas pun dalam fikiran saya tentang soal ini (persaingan) kerana mencapai objektif jalan cerita kepada penonton itu adalah satu-satunya misi saya,” katanya kepada HibGlam.
Bagi juara Hero Remaja 2021 itu, keutamaan terbesarnya dalam setiap projek adalah untuk menterjemahkan peranan yang diberikan dengan seikhlas hati.
“Mana-mana cerita pun baik drama, telefilem mahupun filem, paling penting bagi saya adalah menghidupkan karakter dengan baik.
“Itu paling penting. Kalau nak nampak ada perbandingan ataupun perbezaan, sejujurnya tidak pernah terfikir untuk melakukan perkara tersebut,” ujarnya.
Ditanya sama ada bintang baharu ada meluahkan rasa bimbang bergandingan dengannya, jejaka berusia 28 tahun itu mengakui lebih banyak fokus terhadap kualiti penyampaian wataknya sendiri berbanding memikirkan orang lain.
“Bila bawa watak daripada KUDRAT 1968: High Council, saya bimbang dengan diri sendiri. Saya tak sempat fikir atau risau tentang pelakon lain.
“Adakah penyampaian (watak) saya itu tepat dengan penulisan dan objektif skrip.
Kebimbangan
“Saya tekun mencari ketepatan dalam penyampaian dari hari pertama hingga hari terakhir penggambaran. Saya tiada masa untuk fikir hal lain.
“Kebimbangan saya itu dipandu cantik pengarah, penulis dan jurulatih lakonan saya serta tenaga kerja lain yang bersama dengan saya dalam sebuah pasukan,” jelasnya.
KUDRAT 1968: High Council merupakan prekuel kepada francais High Council yang mengisahkan permulaan sistem hirarki rahsia dalam kalangan pelajar.
Selain Mierul dan Zarif, naskhah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairii Asyraf itu turut dibintangi Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
Drama empat episod dan sebuah filem tersebut menemui penonton bermula 11 September lalu.
sebagai pelakon yang sentiasa fokus memberikan hasil kerja terbaik, Mierul tiada masa untuk terlalu memikirkan kerisauan rakan gandingannya.
