Mierul Aiman sokong kempen beli barang buatan Malaysia

PELAKON Mierul Aiman menyokong gerakan kempen membeli barang buatan Malaysia sepertimana yang sedang tular dalam media sosial ketika ini.

Menurut Mierul atau nama lengkapnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 28, produk keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk antarabangsa dan dia sendiri merupakan pengguna produk buatan tempatan.

“Kualiti produk tempatan dengan antarabangsa kini sudah setanding. Saya sendiri kini banyak menggunakan produk tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya suka melihat bila ramai yang mula membuka mata dan menyokong produk tempatan terutamanya daripada golongan muda.

“Saya harap industri yang membabitkan pengeluaran produk tempatan semakin berkembang dan maju,” katanya ketika ditemui pada majlis Meet & Greet Mierul Aiman x Dr. Cardin, di sini baru-baru ini.

Tambah calon Pelakon Lelaki Harapan Festival Filem Malaysia ke-35 itu lagi, rakyat Malaysia tidak seharusnya berasa malu memakai produk buatan tempatan.

“Saya sendiri jatuh cinta dengan produk tempatan. Seperti baru-baru ini saya terlibat dengan satu projek bersama jenama Dr. Cardin. Kami pergi ke Dabong, Kelantan untuk melakukan aktiviti lasak di sana dan dirakamkan menjadi sebuah dokumentari.

“Sepanjang dua hari di sana, saya pakai kasut dan beg daripada jenama ini dan saya boleh katakan kualitinya sangat bagus. Walaupun saya lakukan pelbagai aktiviti lasak seperti masuk air terjun, panjat bukit dan meredah gua, tetapi barang yang saya pakai masih okey,” kongsinya.

Terdahulu netizen tempatan giat berkempen untuk menggunakan dan membeli produk buatan Malaysia susulan ketegangan yang berlaku di antara netizen Malaysia dan Indonesia.

Lebih menghangatkan keadaan apabila sebuah jenama dari Indonesia dilihat mempersendakan Malaysia dalam salah satu hantaran dalam akaun rasmi media sosial mereka.

Susulan itu, netizen membuat gerakan untuk memboikot jenama tersebut dan mula memperkasakan jenama tempatan.  – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok