PELUANG menembusi Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dengan tersenarai sebagai Top 5 kategori Pelakon Lelaki Harapan menerusi filem Tarung: Unforgiven menjadi satu pencapaian besar dalam lembaran kerjaya seni bintang meningkat naik, Mierul Aiman.
Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan bakat dan kesungguhannya sebagai pelakon berjaya menempatkan dirinya dalam gelanggang perfileman tempatan.
Bagi pemilik nama penuh Mohammad Amirul Aiman Norazman itu, pencalonan berkenaan bukan sekadar satu penghormatan, malah menjadi suntikan semangat untuk terus mengembangkan potensi diri dan memperkukuh kedudukannya dalam industri seni.
“Sejak jadi anak seni, misi saya bukanlah mengejar anugerah sebaliknya memastikan karakter mencapai objektif yang digambarkan penulis skrip.
“Saya rasa bahagian itu sudah diselesaikan dalam produksi dan setiap kali ketika berada di set penggambaran.
Sekarang, tercalon dalam FFM35 untuk filem Tarung adalah maklum balas yang baik untuk hasil kerja seni sekali gus membuatkan saya percaya sudah berada di jalan yang betul dalam industri ini,” katanya.
Menurut jejaka berusia 28 tahun itu, pencalonan tersebut membawa makna tersendiri kerana menjadi petunjuk bahawa usaha yang dicurahkan selama ini mendapat perhatian pemain industri.
Mierul berkata, pengiktirafan itu turut mendorongnya untuk memperbaiki kemahiran serta meneroka potensi diri agar dapat memberikan persembahan lebih baik menerusi karya akan datang.
“Mendapat anugerah itu adalah satu perkara yang baik terhadap hasil kerja saya. Semestinya saya sentiasa bersyukur kalau berjaya memiliki sebarang anugerah.
Buat masa sekarang, rasa sangat bersyukur kerana melihat pencalonan ini sebagai satu kepercayaan yang diberikan industri kepada saya.
“Apabila tahu kita berada di jalan yang betul, sudah tentu nak tambahkan lagi kemahiran dan hasil lebih baik dalam kerja selepas ini,” katanya lagi.
Mierul juga menganggap pencalonan dalam FFM35 sebagai suntikan semangat untuk terus memperkukuh kedudukannya.
Dalam pada itu, meski hasil kerja dalam filem diiktiraf, dia menegaskan tidak akan sesekali meninggalkan dunia drama termasuk karya yang mengetengahkan kisah percintaan.
Saya percaya setiap karya itu merupakan sesuatu yang mulia. Setiap kali bekerja di hadapan kamera, tanggungjawab saya adalah untuk menterjemah cerita tersebut kepada penonton.
“Tetapi bagi diri sendiri, menjadi pelakon filem merupakan misi saya sejak hari pertama, sebelum menyertai Hero Remaja lagi.
“Alhamdulillah, menerusi pencalonan FFM35, saya mungkin sudah mendapat kepercayaan industri tetapi dalam masa sama lakonan drama juga akan tetap seiring,” ujarnya.

MIERUL menyifatkan pencalonan dalam FFM35 sebagai suntikan semangat untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelakon.
Menerusi kategori Pelakon Lelaki Harapan, dia bersaing dengan empat lagi bintang muda iaitu Xid Haixal (Denu), Tom Phan (Circus Of Life), Shahfi Rafiq (Indera) dan Merah Muhaimin (Abah Saya Uncle Mike).
Harga
Dicuit mengenai wujud dakwaan isu bayaran berjumlah ratusan ribu dalam kalangan bintang muda hari ini, Mierul berpendapat penerbit berhak menentukan pelakon yang bersesuaian dengan keperluan sesebuah produksi.
Ujarnya, proses menilai, memilih dan pembayaran pelakon merupakan sebahagian daripada tanggungjawab penerbit serta pihak yang terlibat.
“Saya rasa adil kepada pihak-pihak tertentu untuk menapis pelakon yang sudah dicadangkan ataupun disenaraikan.
Bagi saya misi utama pelakon adalah menjayakan sesebuah naskhah dan urusan selepas itu diserahkan kepada pihak pengurusan,” jelasnya.
Kata Mierul lagi, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penguruan yang setia bersamanya sejak awal pembabitan dalam industri untuk menguruskan soal harga dan rundingan.
“Bahagian perniagaan dan keusahawanan, semua itu diserahkan kepada pengurusan, manakala saya lebih menumpukan perhatian kepada seni lakonan.
Saya percaya pihak pengurusan mempunyai ilmu yang lebih berkualiti untuk berbincang tentang soal harga dan sebagainya.
“Bahagian saya pula fokus menjayakan karakter dan projek yang sudah dipertanggungjawabkan,” ujarnya. – HIBGLAM

