PELAKON Zarif Ghazzi tidak kisah jika peminat terus mengingati dan memanggilnya dengan watak Abbas untuk tempoh masa yang lama berbanding nama sebenar.
Bagi pemilik nama penuh Zarif Farahi Effie Ghazzi, 22, itu, situasi tersebut bukan satu perkara yang perlu ditakuti sebaliknya bukti lakonannya dalam siri Kudrat 1968: High Council berjaya meninggalkan impak besar kepada penonton.
“Sejujurnya saya terkejut dengan impak dan sokongan diberikan (peminat). Saya rasa lepas ini memang orang akan panggil saya Abbas (nama watak) walaupun 10 tahun akan datang.
“Bagi saya itu adalah satu pencapaian kerana orang bukan ingat nama tetapi watak itu sendiri. Maksudnya lakonan saya itu sampai kepada penonton.
“Saya tetap akan berdoa dan berusaha agar kerjaya saya tidak hanya bergantung dengan siri Kudrat 1968 ini sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem arahan Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff itu, semalam.
Dia turut meluahkan rasa syukur apabila lakonannya dikatakan mencapai jangkaan dan harapan penonton menerusi empat episod Kudrat 1968: High Council yang ditayangkan sejak 11 September lalu.
“Alhamdulillah saya bersyukur apabila mencapai jangkaan ramai menerusi lakonan dalam siri Kudrat.
“Saya percaya setiap ekspektasi tidak akan terhenti di situ, tanggungjawab saya sebagai pelakon dalam melunaskan sesebuah watak akan bertambah besar.
“Sudah tentu takut dengan ekspektasi orang tetapi saya tukarkan ketakutan itu kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan (lakonan) dengan lebih baik,” katanya lagi.
Mengakui tidak menyangka dengan sambutan hangat yang diterima, dia percaya kualiti jalan cerita adalah faktor utama Kudrat 1968: High Council meledak dan menjadi bualan hangat ramai.
Dia bagaimanapun menegaskan enggan berasa terlalu selesa dengan populariti yang diraih ketika ini.
“Sejujurnya sudah tentu setiap naskhah yang baik memang akan boleh ‘pergi’ (berjaya).
“Saya belum cukup sempurna dan pastinya banyak lagi yang perlu belajar tentang penyampaian dalam lakonan.
“Apa pun, terima kasih atas sokongan semua terhadap karya tempatan,” jelasnya.
Naskhah yang meraih lebih 1 bilion capaian dalam media sosial itu turut dibintangi Mierul Aiman, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes serta Akmal Asyraf itu bakal menemui penonton di pawagam pada 29 Oktober ini. – HIBGLAM

