Kudrat 1968: Bara amarah Piji, balasan tragis Pa

SELEPAS mencetuskan fenomena luar biasa menerusi empat siri sebelum ini, francais Kudrat 1968: High Council akhirnya melabuhkan tirai legasi menerusi layar perak.

Sejak mula ditayangkan pada 11 September lalu, pelbagai teori liar mula bertebaran dalam kalangan peminat tegar naskhah berkenaan.

Ada andaian yang masih masuk akal, namun wujud juga spekulasi mengarut sehingga cuba mengaitkan elemen mistik yang langsung tidak berasas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, segala tanda tanya terjawab apabila pengarah, Zulaikha Zakaria membentangkan naratif realistik dalam karya berdurasi satu jam 58 minit itu.

Mengambil latar belakang era lewat 1960-an, naskhah prekuel ini berjaya merungkai titik permulaan tradisi gelap di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT).

Fokus penceritaan bermula apabila watak utama enggan tunduk kepada sistem hierarki lapuk yang mencengkam kehidupan pelajar di sekolah berasrama penuh itu.

Keberanian menongkah arus tersebut segera meletakkannya sebagai ancaman besar kepada kelompok elit sekolah, sekali gus menyalakan pertembungan maruah sejak awal babak.

DISEBABKAN ingin menuntut keadilan, situasi di KUDRAT menjadi serius apabila nyawa pelajar melayang ketika cubaan menoktahkan kurang golongan bangsawan dan bawahan.

Lakonan matang ‘Abbas’

Zarif Ghazzi membuktikan kredibiliti tinggi sebagai peneraju utama menerusi lakonan matang yang sarat emosi serta penahanan batin mendalam.

Koreografi aksi dan babak pergaduhan pula kekal menjadi nadi penarik terbesar dalam naskhah arahan sutradara terbabit.

Pertarungan berdarah yang dipaparkan terasa begitu mentah, agresif dan menyakitkan, namun sentiasa bertaut kepada motif dendam serta perlindungan diri.

Pujian melambung wajar diberikan kepada Dai Fuad yang melakonkan watak Pa dan Akmal Asyraf (Piji) yang mempamerkan mutu lakonan luar biasa bertenaga.

Kedua-dua pelakon itu berjaya menterjemahkan kebencian dan dendam kesumat antara watak dengan begitu meyakinkan sehingga mencengkam emosi penonton.

Pemberontakan nekad Piji menjadi titik tolak penting naskhah apabila api kemarahannya meledak susulan kematian tragis watak Mazli.

Suasana asrama bertukar kelam apabila insiden kehilangan nyawa itu dirai secara kejam oleh satu pihak, namun ditangisi penuh hiba oleh pihak yang lain.

Kehadiran aktres berpengalaman, Yasmin Hani sebagai watak antagonis turut menyuntik impak tersendiri menerusi manipulasi emosi yang cukup licik.

Latar sejarah turut diperkemas dengan berkesan menerusi pengenalan Penyata Razak yang mewarnai struktur sistem pendidikan pada era tersebut.

LAKONAN mantap Zarif dan Akmal (kiri) meninggalkan kesan luar biasa dalam filem Kudrat 1968.

Nilai sebenar

Filem ini juga berani mengupas jurang darjat antara kelompok bangsawan dengan pelajar bawahan yang sering menjadi mangsa penindasan.

Masih terngiang-ngiang dialog,” Ji.. Jangan Ji, Sudah Ji, semua ni salah Ji”. Namun sayang, rayuan Abbas itu tidak diendahkan sehingga membawa kepada tragedi berdarah di institusi yang diasaskan oleh Ungku Deramat.

Keberanian Zulaikha terserlah apabila berjaya mengelak karya ini daripada terperangkap sekadar mengangkat budaya buli tanpa arah tuju.

Sebaliknya, pengarah mendedahkan padah daripada kitaran keganasan yang mampu memusnahkan jiwa anak muda jika dibiarkan tanpa pengawasan.

Transisi daripada drama siri kepada format layar lebar memberi kelebihan tersendiri terhadap perkembangan jiwa watak yang lebih mendalam.

Namun begitu, kelemahan filem ini dikesan pada babak transisi pertengahan apabila watak ‘pembantu’ seperti Abbas dan Kuda dilihat tidak mendapat ruang mencukupi.

Pengakhiran bagaimanapun tetap meninggalkan kesan mendalam terhadap kitaran dendam yang sukar dipadamkan di KUDRAT.

Secara keseluruhannya, Kudrat 1968: High Council merupakan sebuah prekuel bermutu tinggi yang bukan sahaja melengkapkan mitologi asrama berkenaan, malah berdiri teguh sebagai karya drama-aksi tempatan yang sarat pengajaran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok