‘Terima kasih isteri, saya sayang awak sampai syurga’

SEMPENA ulang tahun kelahiran yang dirai, pelakon Fattah Amin meluahkan rasa syukur selain menyifatkan kehadiran insan tersayang merupakan nikmat terbesar dalam hidupnya.

Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 36, berkata, peningkatan usia mengajarnya untuk lebih menghargai erti kesihatan yang baik serta peluang berterusan untuk memperbaiki diri.

“Alhamdulillah, bertambah satu lagi usia hari ini.

Semakin dewasa, semakin saya belajar bahawa nikmat terbesar bukanlah apa yang kita miliki.

“Tetapi siapa yang Allah hadirkan di sisi, kesihatan yang masih diberi dan peluang untuk terus memperbaiki diri, “katanya dalam Threads.

Selain itu, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada isterinya, Amira Othman yang juga penyanyi atas usaha merancang kejutan hari lahir bermakna bersama ahli keluarga.

“Terima kasih isteri syurgaku bersusah-payah buat kejutan hari jadi bersama keluarga hari ini (semalam).

“Saya sayang awak sampai syurga, Allahuma-Amin,” ujarnya.

Dalam hantaran tersebut, Fattah memuat naik gambar bersama Amira dan anak-anaknya yang lengkap berpakaian serba putih.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran ibu, bapa dan adik-beradiknya yang turut serta meraikan hari istimewa tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok