TERPALIT kontroversi, anak-anak pelawak Shuib diajukan pertanyaan berkenaan dakwaan hubungan bapa mereka dengan ibu tiri, Watie terjalin ketika Allahyarham Siti Sarah Raisuddin masih hidup.
Watie atau nama lengkapnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 32, berkata dia sebak membaca maklum balas diberikan Thalita dan Matin, malah bangga serta bersyukur kerana mereka memberikan jawapan dengan matang.
Dedahnya, Thalita menegaskan isu tersebut bukan sekadar ujian buat bapanya dan Watie, sebaliknya menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika berbicara atau menulis mengenai kehidupan orang lain.
“Katanya ini bukan ujian Mummy dan Daddy saya seorang, tetapi ini pengajaran untuk kita juga supaya kita semua kena jaga mulut, jaga penulisan, jangan pernah bercakap pasal orang yang mungkin akan menjadi fitnah.
“Matin pula mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sesuatu perkara yang dibaca di media sosial, apatah lagi membuat tuduhan tanpa mengetahui keadaan sebenar.
“Selepas ini, apa yang dalam media sosial itu kalau kita terbaca, jangan terus percaya dan tuduh sebab benda itu berlaku dekat dalam keluarga aku. Itu kata Matin,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Dalam perkongsian sama, Watie mengakui kekuatan serta sokongan insan kesayangannya itu sangat dihargai terutama ketika berdepan pandangan buruk segelintir masyarakat.
“Terima kasih anak-anak, di waktu dan ketika ini tiada apa yang lebih penting dalam dunia ini selain dari kekuatan, pandangan dan pertahankan dari kata-kata yang datang dari anak-anak Mummy dan Daddy,” ujarnya.
Sebelum ini, Watie menafikan dakwaan netizen yang mendakwa dia menjalin hubungan dengan Shuib ketika Siti Sarah masih hidup.
Selepas sekian lama mendiamkan diri, Watie turut memuat naik bukti membabitkan suara lelaki dalam video yang kembali tular itu bukanlah Shuib seperti disebarkan pihak tertentu.
Dia juga berkongsi beberapa bukti lain termasuk gambarnya bersama seorang lelaki dikenali sebagai Badrol serta memaparkan tangkap layar perbualan WhatsApp dengan individu yang pernah bertanyakan pemilik suara berkenaan. – HIBGLAM

