‘Saya dan Shuib tidak pernah kenal ketika arwah Siti Sarah masih hidup’

DIDAKWA menjalin hubungan sulit dengan pelawak Shuib ketika Allahyarham Siti Sarah Raissuddin masih hidup, Watie Hanafiah menyangkal tuduhan berkenaan selain mempertahankan diri dengan mendedahkan perkara sebenar berserta bukti.

Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 37, berkata, selepas hampir empat tahun mendirikan rumah tangga, dia berasakan sudah tiba masanya untuk bersuara bagi membersihkan namanya daripada pelbagai tohmahan, terutama apabila perkara itu turut melibatkan anak-anak.

“Jarang saya bersuara, tetapi kini sudah tiba masanya. Islam tidak menghalalkan cara, namun selepas dua hari berfikir dan meminta petunjuk, akhirnya saya terpaksa mengambil keputusan untuk bersuara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setelah hampir empat tahun berumah tangga dan menyimpan segala rasa, saya rasa sudah tiba masanya untuk mempertahankan diri. Ini bukan lagi tentang saya seorang, tetapi turut melibatkan harta dunia akhirat saya, iaitu anak-anak.

“Dahulu, apa sahaja tohmahan dan hinaan dilemparkan kepada saya, semuanya saya terima tanpa membalas atau membahaskannya. Saya sedar diri ini juga mempunyai kekurangan serta aib masa lalu, namun Allah masih menutupnya,” katanya dalam Instagram.

Tambah Watie, perkara utama ingin diperjelaskan adalah dia dan Shuib tidak pernah mengenali antara satu sama lain ketika penyanyi lagu Kesetiaan itu masih hidup.

“Kebenaran yang ingin saya sampaikan ialah saya dan suami tidak pernah mengenali antara satu sama lain sejak arwah masih hidup.

“Suami saya juga tidak pernah mengenali Eddy Kana, meskipun sebelum ini mereka pernah dikaitkan dengan dakwaan berkaitan isu sama.

“Selepas mengenali suami, saya sendiri pernah bertanya kepada Eddy Kana sama ada dia mengenali suami saya secara peribadi. Menerusi mulutnya sendiri, dia mengatakan tidak pernah mengenali suami saya atau mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengannya,” ujarnya.

Paling penting, dia juga tidak mengetahui mengapa dirinya dan Shuib dipertemukan sebagai pasangan ketika keadaan sedemikian berpotensi mengundang salah faham serta tanggapan negatif orang ramai.

Bagaimanapun, dia menyerahkan segala persoalan kepada ketentuan Tuhan dan berharap penjelasan tersebut dapat menghentikan pelbagai spekulasi terhadap rumah tangganya.

“Mengapa dan kenapa daripada begitu ramai manusia di dunia ini, Allah memilih kami menjadi pasangan ketika keadaan boleh menyebabkan orang salah menilai hubungan kami? Jawapannya hanya Allah lebih mengetahui.

“Dengan memberikan bukti ini, bukan bermakna saya menganggap diri lebih baik atau suci. Saya cuma berharap selepas ini segala-galanya berhenti setakat ini.

“Bukan bermakna Allah menjauhkan saya daripada teman lama kerana mereka tidak baik untuk saya. Mungkin keputusan meninggalkan dunia hiburan bersama teman-teman demi sebuah rumah tangga menjadi asbab untuk saya mengumpul saham akhirat,” luahnya.

Watie turut berharap orang ramai tidak hanya melihat dirinya dan Shuib dalam kontroversi berkenaan, sebaliknya mempertimbangkan perasaan serta kebajikan anak-anak mereka.

“Jangan hanya memandang saya atau suami, tetapi pandanglah anak-anak saya juga,” jelasnya.

Terdahulu, dakwaan mengenai hubungan Watie dan Shuib ketika Allahyarham Siti Sarah masih hidup kembali menjadi bualan selepas timbul spekulasi mengenai identiti seorang lelaki dalam video lama memaparkan Watie bermain golf.

Lelaki berkenaan didakwa adalah Shuib, sekali gus mencetuskan pelbagai tuduhan dan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok