‘Lebih sebulan bergerak sendiri, isteri penasihat, rakan kongsi saya’  

MAHU lebih bebas menentukan hala tuju seni, penyanyi Haqiem Rusli mengakui bergerak sendiri menerusi syarikat miliknya, Haqiem Rusli Entertainment, sejak lebih sebulan lalu.

Ujar Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 28, keputusan meninggalkan pengurusan sedia ada untuk menguruskan kerjaya sendiri itu membuka lembaran baharu selain memberinya ruang lebih luas untuk membuat keputusan berkaitan muzik dan perniagaan.

“Saya sudah sebulan lebih bergerak secara bebas di bawah syarikat sendiri, Haqiem Rusli Entertainment. Saya ucapkan terima kasih kepada FMC Music atas kerjasama selama 10 tahun, banyak membantu sejak awal kemunculan sehingga kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apapun saya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan FMC Music lagi sekiranya ada projek tertentu pada masa akan datang.

“Kami masih baharu dan saya sendiri sedang menimba ilmu untuk memahami selok-belok menguruskan perniagaan secara sendiri, isteri juga menjadi antara penasihat dalam syarikat ini,” katanya kepada HibGlam.

Menurut pelantun lagu Tergantung Sepi itu, keputusan berkenaan turut didorong keinginannya untuk mencuba pengalaman baharu, khususnya dalam aspek membuat keputusan serta menentukan kepuasan berkarya mengikut hala tuju sendiri.

“Saya mahu cuba benda baharu dari segi membuat keputusan dan mendapatkan lebih kebebasan berkarya. Bergerak sendiri ada kelebihan serta kekurangannya. Ada perkara terasa sukar, tetapi semua itu sebahagian daripada proses pembelajaran.

Sebelum ini, banyak urusan berkaitan kerjaya diuruskan FMC Music. Sekarang, isteri banyak membantu dari segi membuat keputusan. Saya sangat hargai pemikiran kritis dan kebolehannya menilai sesuatu perkara sebelum menentukan langkah seterusnya.

“Dia bukan sekadar penasihat paling rapat, malah boleh dianggap rakan kongsi perniagaan saya,” ujarnya pada majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul Katamu Sekejap, di sini, semalam.

Mengulas kebimbangan mengenai risiko kewangan serta cabaran menguruskan perniagaan sendiri, Haqiem mengakui perkara tersebut mungkin menakutkan sekiranya dia membuat keputusan sama lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Bintang Popular Anugerah Bintang Popular ke-33 (ABP33) itu kini lebih bersedia selepas melakukan persiapan awal, termasuk mendapatkan nasihat daripada individu berpengalaman dalam bidang kewangan dan pengurusan kandungan.

“Kalau ditanya lima tahun lalu, mungkin saya takut untuk mengambil langkah ini tapi sebelum membuat keputusan, saya sudah berbincang dengan isteri dan membuat persediaan sewajarnya.

Kami mempunyai akauntan sendiri serta individu yang boleh membantu dari segi penyediaan kandungan. Saya juga membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum menentukan langkah seterusnya. Jadi, saya boleh katakan saya sudah bersedia untuk bergerak secara bebas,” jelasnya.

Katamu Sekejap menjadi buah tangan pertama Haqiem buat peminat selepas memulakan perjalanan sebagai penyanyi bebas.

Lagu balada ciptaan sepenuhnya penyanyi itu sendiri turut menampilkan lirik hasil kerjasamanya dengan Jaja Ishak dan dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama bersiri Sepenuh Hati Rindu.

Drama berkenaan dijadualkan bersiaran menerusi TV3 bermula 27 Oktober 2026, manakala Katamu Sekejap boleh didengari di semua platform digital mulai 26 Oktober ini. – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok