GANDINGAN sulung Fattah Amin dan Hannah Delisha menerusi drama Andai Masih Ada Maaf kini mencetuskan gelombang tersendiri dalam media sosial.
Karya sarat emosi itu memaparkan kemelut rumah tangga Dr. Reza lakonan Fattah dan Hana yang goyah selepas fitnah kecurangan serta dendam silam, tanpa sedar mula memusnahkan kebahagiaan mereka.
Keserasian jiwa dan babak air mata antara Fattah dan Hannah berjaya meruntun jiwa penonton yang mengikuti drama 28 episod itu.
Rata-rata netizen memuji kehebatan lakonan Fattah yang dikatakan semakin baik malah penghayatannya berjaya membuat ramai tersentuh.
Sejak ditayangkan, naskhah arahan Feroz Kader dan turut dibintangi Nazrief Nazri, Malek Mccrone dan Husna Mustaffa itu meledak dalam media sosial selain meraih tontonan tinggi. – HIBGLAM

