AKTRES Nora Danish mencuri perhatian apabila berkongsi mesej peribadi (DM) daripada seorang wanita yang ‘melamarnya’ untuk menjadi isteri kedua kepada suaminya.
Tidak menerima tawaran itu, Nora, 44, mengakui terkejut tetapi dalam masa sama menyifatkan wanita tersebut sebagai pasangan terbaik.
“Isteri syurga.
Mari kita doakan agar suaminya setia padanya dan menjaganya dengan penuh cinta hingga akhir hayat,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Menerusi hantaran sama, dia yang tersentuh dengan perkara tersebut juga berharap hubungan pasangan suami isteri itu sentiasa dilimpahi kebahagiaan.
“Tak tahu nak rasa apa. Kalaulah ini benar, sayunya hati.
Ada juga isteri sebaik ini. Jangan buat saya menangis malam-malam, hujan ini,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang wanita melamar ibu kepada dua cahaya mata itu menerusi ruangan mesej dalam Instagram untuk dijadikan madu yang juga isteri kedua suaminya.
Dalam mesej sama, wanita tersebut juga menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang baik selain menawarkan ruang untuk Nora berkenan lebih rapat dengan lelaki itu.
“Assalamualaikum kak Nora. Suami saya beriman dan sangat baik. Saya juga sedang mencari jodoh kedua buat suami saya.
Jika kak Nora sudi ta’aruf bersama suami saya, saya amat berbesar hati,” tulis wanita tersebut.
Hantaran yang dikongsikan Nora itu menarik perhatian selain meraih pelbagai respons daripada netizen.
Rata-rata netizen turut menasihatkannya agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran sebegitu kerana bimbang menjadi mangsa penipuan.
Sebelum ini, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 2006 sebelum mereka bercerai pada 2008. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 17.
Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan Mohamed Nedim Nazri pada 2017 dan dikurniakan seorang lagi cahaya mata, Mohamed Neqayl, lapan.
Bagaimanapun, mereka sah bercerai pada Jun 2024 selepas tujuh tahun bersama. – HIBGLAM

