PENDEDAHAN mencetuskan kecaman, pelakon Datuk Ziela Jalil menegaskan kemunculannya di sebuah program audio siar sekadar mahu berkongsi mengenai kehidupan, bukan meraih sensasi atau simpati.
Ziela atau nama sebenar Norzilah Abdul Jalil, 55, mengakui tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika diajukan soalan melibatkan bekas madu, Puan Sri Faizah Shuaib yang membuatkannya berkongsi kisah lalu.
“Apabila diundang ke sebuah podcast untuk bercerita perihal kehidupan, saya sebenarnya memang tak nak sentuh hal siapa-siapa, cuma mahu cerita tentang diri saya.
“Tapi kalau ada orang terlibat dalam perjalanan hidup saya, jadi kaitan tersebut yang menjadikan penceritaan lebih terbuka. Biasanya kalau saya setuju buat podcast, saya tahu ada ‘pro and con’.
“Kena bersiap sedia berdepan komen. Kecaman saya dah tak hirau. Kita ini dalam industri (hiburan), soal cemuhan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tak suka saya boleh ‘block’, habis cerita,” katanya ketika ditemui di majlis tahlil Allahyarham Tun Dr Hasmah Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.
Pelakon filem Driving School itu sejujurnya mengakui tidak menyangka perkongsian mengenai permohonan maaf kepada bekas madunya itu meraih perhatian di laman sosial.
“Saya nak yang positif sahaja. Dekat media sosial saya nak benda yang elok-elok, positif selain dapat memotivasikan diri. Sebab itu saya lebih suka kongsi perkara yang menggembirakan.
“Soal saya menangis, tak perlu kongsi. Itu antara saya dengan Allah. Cuma apabila ada benda yang tercuit sikit, contoh bila ditanya fasal ibu bapa, lepas imbau kembali memang automatik sedih,” ujarnya.
Pada masa sama, Ziela turut mendedahkan mempunyai hubungan baik dengan bekas madunya, malah sentiasa menghormati wanita terbabit.
“Hubungan saya dengan Puan Seri Faizah tetap baik sampai sekarang. Cucu kami pun baru saja buat majlis perkahwinan. Saya sangat hormati beliau.
“Saya turut menganggap bahawa takdir sudah tertulis (untuk kami). Benda pun dah berlalu dan suami kami pun sudah tiada.
“Kebaikan itu yang kita kenang, kita sebut dan saya baca komen daripada bekas pelajarnya semua setuju serta tahu beliau seorang yang berkeperibadian mulia,” ujarnya.
Terdahulu, perkahwinan dengan bekas menteri kabinet, Allahyarham Tan Sri Megat Junid pada 1991 dikurniakan sepasang anak, Dr. Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah.
Ziela mempunyai seorang anak angkat, Ibrahim Junid Abdullah.
Pelakon merangkap penerbit itu kemudian berkahwin dengan Pengerusi Masjid Ibnu Mas’ud, Datuk Syed Osman Al Habshee Syed Omar pada 17 Februari 2019, juga berpoligami. -HIBGLAM

