RAMAI penganjur acara berlumba-lumba menganjurkan konsert, penyanyi Datuk Ziana Zain mengakui sebagai penghibur, dirinya kini lebih berhati-hati dan selektif sebelum bersetuju menjayakan sesebuah persembahan.
Bukan soal bayaran lumayan semata-mata, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 58, berkata, dia perlu menyelidik latar belakang penganjur terlebih dahulu sebelum membuat keputusan, lebih-lebih lagi selepas pernah melalui pengalaman kurang menyenangkan sehingga serik untuk kembali mengadakan konsert.
“Kena selidik latar belakang penganjur terlebih dahulu. Perkara ini bukan soal duit semata-mata, tetapi reputasi. Itu sangat penting kerana saya sendiri pernah berdepan pengalaman kurang menyenangkan sebelum ini. Sebab itulah saya lama tidak mengadakan konsert kerana serik.
“Apabila ada pihak menawarkan peluang kepada saya, saya menolak. Sehinggalah Anuar Zain datang menawarkan peluang, barulah saya tergerak hati untuk kembali membuat konsert. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.
“Jadi, kita memang kena menyelidik terlebih dahulu. Kita tidak boleh menerima tawaran begitu sahaja tanpa memikirkan kesannya kemudian,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Madah Berhelah itu, rekod penganjuran serta kebolehan menguruskan keseluruhan acara perlu diteliti kerana kegagalan sesebuah konsert boleh menjejaskan nama baik artis, biarpun masalah berpunca daripada kelemahan pihak penganjur.
“Kena tengok sama ada penganjur itu pernah mengendalikan konsert atau tidak. Adakah mereka tahu menguruskan acara dengan baik? Kalau promosi tidak dibuat bersungguh-sungguh atau banyak perkara tidak berjalan lancar, akhirnya nama kita juga terjejas.
“Sebab itu, kita perlu bekerjasama dengan pihak yang memang berpengalaman mengendalikan konsert. Kita kena pastikan mereka mempunyai kemampuan menguruskan acara dan melaksanakan promosi dengan baik,” ujarnya pada sesi latihan Live Concert: Elegant Selamanya, di sini, semalam.
Paling penting jata Ziana, penganjur tidak seharusnya meletakkan harapan sepenuhnya kepada nama besar artis tanpa menyediakan strategi pemasaran berkesan untuk menarik penonton.
“Promosi memainkan peranan sangat penting. Tidak boleh beranggapan tiket akan terjual hanya kerana meletakkan nama seseorang artis pada poster konsert. Kalau promosi tidak dilakukan dengan baik, tidak akan pergi jauh.
“Memang akan ada masalah atau perkara di luar jangkaan. Konsert juga ada musimnya. Ada masanya orang ramai teruja mahu menonton persembahan, tetapi ada ketika mereka mungkin kurang berminat kerana terlalu banyak konsert dianjurkan dalam tempoh sama.
“Jadi, apabila kita melihat terlalu banyak konsert berlangsung, kita sendiri kadangkala berasa ragu-ragu untuk turut mengadakan persembahan. Tapi, saya percaya jika sesebuah konsert mempunyai pasukan mantap dan strategi promosi berkesan, insya-Allah sambutannya akan baik,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ziana bakal menyertai Live Concert: Elegant Selamanya di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Oktober ini.
Konsert berkenaan menghimpunkan barisan penghibur wanita daripada pelbagai generasi, termasuk Erra Fazira, Adira Suhaimi, kumpulan Elite, Nourul, Anggrek, Umai, Odda, Zaki Yamani dan Azar Azmi. – HIBGLAM.

