PELAKON Eira Syazira menegaskan suami isteri harus mengutamakan kejujuran dalam setiap perkara, termasuk hal kecil kerana perbuatan menyembunyikan sesuatu daripada pasangan boleh mengundang keretakan hubungan.
Eira atau nama sebenarnya Syazira Sarimah Sakinah Almera Shuhaimi, 42, turut mengingatkan golongan isteri agar tidak terlalu dibelenggu rasa bimbang sehingga terdorong menyiasat setiap gerak-geri suami, sebaliknya menilai hubungan berdasarkan kepercayaan dan tanggungjawab masing-masing.
“Rumah tangga boleh rosak apabila wujud prinsip, kalau beritahu nanti dia marah, lebih baik jangan beritahu langsung. Salah satu adab dalam rumah tangga adalah tidak perlu terlalu sibuk mencari tahu bagaimana suami di luar sana.
Lihat sahaja rezeki dan urusannya. Jika dipersulitkan, itu bermakna dia berbohong kepada anda dan terutamanya Allah.
“Tidak pernah ada cerita seorang suami hancur kerana memuliakan isterinya. Sebaliknya, ada suami menerima akibat buruk apabila menzalimi isterinya sendiri,” katanya dalam Threads.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, khususnya dalam kalangan wanita berhubung kepentingan kejujuran dan naluri isteri dalam kehidupan berumah tangga.
“Allah mengurniakan naluri kuat kepada seorang isteri. Jadi, suami jangan sesekali menyembunyikan atau menipu isteri kerana lambat-laun dia mungkin akan mengetahuinya juga.
“Tidak ada istilah menipu sunat atau berbohong semata-mata mahu mengelakkan pergaduhan. Lebih baik berterus terang dan berbincang dengan baik daripada membiarkan masalah menjadi semakin besar,” antara komen netizen.
Bagaimanapun, pandangan tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai keseimbangan antara kejujuran, kepercayaan dan privasi dalam sesebuah perkahwinan.
Terdahulu, isu isteri terlalu mengawal suami serta berlebihan memikirkan aktiviti pasangan di luar rumah sering menjadi perbualan dalam media sosial.
Keadaan itu mencetuskan perdebatan mengenai batas perhatian dalam hubungan, termasuk perbezaan antara mengambil berat dengan sikap terlalu curiga. – HIBGLAM

