DIKENALI sebagai pelakon, siapa sangka Dai Fuad sebenarnya terlebih dahulu menceburi industri seni sebagai penyanyi pada 2018.
Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Fuad Abd. Rahman, 34, dia kini aktif bersama kumpulan muzik TIP Band yang ditubuhkan pada 2023.
“Karier saya bermula dengan menyanyi pada 2018, kemudian barulah berlakon.
“Ketika itu, TIP band belum ada lagi. TIP itu baru ada tiga tahun,“ katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem KUDRAT 1968: High Council, baru-baru ini.
Berkongsi cerita mengenai penubuhan kumpulan tersebut, pelakon drama Good Boys Go To Heaven itu mendedahkan mereka bermula atas inisiatif pemain gitar band berkenaan dan dibantu penyanyi Adi Priyo.
“Bukan keputusan saya (penubuhan TIP) tetapi itu adalah keputusan basis band yang menggabungkan beberapa individu.
“Yang membina band ini kekal hingga ke hari ini adalah dengan bantuan cikgu saya iaitu Adi Priyo.
“Dia adalah cikgu serta mentor saya dalam bidang nyanyian dan membantu mencorakkan lagi band kami,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Dai Fuad memaklumkan mereka sudah melancarkan lagu Ratnaku dan mendapat sambutan hangat daripada pendengar.
“Saya dan TIP baru rilis lagu Ratnaku yang dihasilkan Datuk M. Nasir dan dinyanyikan abang Roy namun diberi nafas baru oleh Adi Priyo.
“Alhamdulillah sejak beberapa hari dikeluarkan, lagu tersebut mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dan baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia percaya penglibatannya dalam filem baharu turut membawa rezeki serta tuah buat kumpulannya.
“Saya percaya semua datang juga daripada berkat KUDRAT 1968.
“Jadi, saya berharap agar TIP Band akan terus berkembang,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Dai Fuad bakal tampil menerusi filem KUDRAT 1968: High Council yang ditayangkan di pawagam bermula 29 Oktober depan.
Selain Dai Fuad, filem arahan Zulaikha Zakaria itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Chech Harith, Evertts Gomes dan Akmal Asyraf. – HIBGLAM

