Gusti Putri ubah perspektif hidup Mila Mohsin

PELAKON Mila Mohsin mengakui watak Gusti Putri dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) memberi kesan mendalam terhadap dirinya dari segi memahami erti kebebasan dan perjuangan wanita.

Pemilik nama penuh Nur Mila Mohsin, 26, itu berkata, menjalani latihan selama beberapa bulan bagi menghidupkan watak ikonik itu membuatkannya melihat kehidupan daripada sudut pandangan yang lebih luas dan memahami kepentingan hubungan sesama manusia.

“Melihat dunia menerusi mata Gusti Putri telah mengubah dan menjadikan saya insan yang lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Watak ini tidak mengubah saya sepenuhnya tetapi lebih kepada membuatkan saya melihat sesuatu daripada perspektif yang lebih luas, berbanding terlalu memikirkan kerisauan harian yang remeh.

“Perkara paling penting adalah membina hubungan dengan dunia dan insan di sekeliling,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tambahya, Gusti Putri merupakan seorang pejuang hak wanita selain berpendirian teguh dalam memperjuangkan kebebasan yang bukan hanya mencari cinta sejati semata-mata.

“Bagi saya, Gusti Putri sebenarnya seorang pejuang hak wanita yang sangat kuat serta memperjuangkan kebebasannya.

“Dia bukan sekadar gadis muda yang mencari cinta atau mahu melihat dunia luar sebaliknya perjuangannya jauh lebih besar kerana dia melawan demi kebebasan,” katanya lagi.

Pengalaman menyaksikan Gusti Putri sejak kecil ketika ibunya, Puan Sri Tiara Jacquelina memegang peranan PGL membolehkannya mengenali watak itu dengan lebih mendalam sebelum diberi peluang menghidupkannya sendiri di pentas teater.

“Saya sangat bertuah kerana dapat menyaksikan watak ini sejak kecil lagi.

“Bukan sahaja di atas pentas, malah di rumah pun saya dapat merasai tenaga dan aura Gusti Putri.

“Bagaimanapun, bukan semua orang boleh berhubung dengan semya itu kerana kita tidak boleh memaksanya wujud dalam diri sebaliknya, perkara itu sendiri yang akan mencari kita,” ujarnya.

Pementasan PGLM kali ini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) yang disifatkan sebagai dewan teater paling canggih di Malaysia lengkap dengan teknologi terkini serta keselesaan visual optimum dari setiap sudut tempat duduk.

Selain Mila, PGLM arahan Tiara Jacquelina turut dibarisi Aisha Retno sebagai Gusti Putri, Aqasha (Hang Tuah), Nadia Aqilah & Mimi Fly (Bayan), Luqman Hafidz (Sultan Melaka) serta Yusof Hashim (Gusti Adipati) bakal dipentaskan bermula 31 Oktober hingga 15 November ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok