Siti Nurhaliza, Datuk K mohon nak sangat saya hadir – PMX

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kehadirannya ke konsert Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Sabtu lalu demi menyantuni permintaan Biduanita Negara itu dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Anwar mendedahkan perkara tersebut di Parlimen hari ini disebabkan kehadirannya ke konsert tersebut ditegur oleh segelintir pihak.

“Saya pergi kerana Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk K mohon sangat-sangat saya hadir. Saya hadir walaupun lambat sedikit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tetapi saya ditegur oleh beberapa rakan. Terima kasihlah. Yang tegur itu yang warak-warak yang tak pernah dengar lagu.

“Saya ini ada kelemahan. Saya minat juga lagu. Bukan sahaja lagu Melayu, lagu Inggeris dan Hindustan pun saya minat,” katanya.

Tambah beliau lagi, konsert Siti adalah sebuah konsert yang memperkasakan budaya Melayu.

Siti Nurhaliza sememangnya biduanita yang terkenal. Pertunjukannya memperkasa budaya Melayu dengan wayang kulit dan tarian tradisional termasuk Sabah dan Sarawak. Memberi kebanggaan kepada kekuatan warisan lagu klasik dan budaya Melayu,” jelasnya.

Terdahulu Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu menghimpunkan lebih 63,000 penonton.

Biarpun dalam keadaan jerebu dan hujan membasahi bumi, namun situasi tersebut tidak menghalang peminat untuk terus berhibur sehingga penghujung konsert.

Video Anwar yang menonton sambil memakai baju hujan juga tular dalam media sosial. Rata-rata netizen memuji semangat dan sokongan yang diberikan oleh PMX terhadap industri seni khususnya buat Biduanita Negara.

Tidak hanya konsert Siti, Anwar sebelum ini menjadi antara tetamu wajib konsert Datuk M. Nasir, bahkan pementasan teater muzikal Mansor & Liu juga tidak ketinggalan menyaksikan kehadirannya sebagai tetamu kehormat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok