MESKI keseronokan pasca konsert Tradisional Gema Bumantara tercemar dek kekhilafan Izara Aishah, itu tidak menghalang peminat untuk terus bercakap tentang acara gah tersebut dalam media sosial.
Sehingga ke hari ini, topik konsert mega Datuk Seri Siti Nurhaliza itu masih hangat diperkatakan dan pujian masih ditabur netizen.
Antara yang mencuri perhatian ramai ialah empat busana yang digayakan Siti pada malam tersebut.
Kata peminat, empat pakaian rekaan Rizman Ruzaini, Samm Republic dan Bianca Bella boleh dikatakan antara busana konsert tercantik Siti sepanjang tempoh kerjaya seninya.
Ramai juga memuji baju hijau rekaan Samm Republic yang disifatkan berani kerana menggunakan warna yang jarang dipakai selebriti tanah air.
“Mesti laku warna hijau ini nanti pada hari raya, lawa betul,” demikian antara coretan netizen. – HIBGLAM

