SATU lipatan sejarah baharu tercipta dalam industri seni muzik Malaysia apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya merealisasikan Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Meskipun mengetengahkan genre tradisional yang dianggap mencabar, Siti membuktikan keampuhan dan kebolehannya apabila berjaya mengumpul sekitar 73,000 penonton.
Boleh dikatakan, hampir semua peminat hadir menggayakan busana tradisional, paling tidak menyelitkan elemen klasik mengikut kreativiti masing-masing.
Ada yang cantik bersanggul lintang, berbaju Melayu, bersongket mahupun memadankan gaya tradisional masing-masing demi menyerlahkan sokongan dan berkongsi ‘vibe’ sama dengan emosi penyanyi kesayangan negara itu.
Kita merancang, Tuhan menentukan. Keindahan warna gaya tersebut bagaimana teruji apabila ramai penonton terpaksa menyarungkan baju hujan akibat cuaca yang tidak menentu sebelum dan sepanjang konsert.
Itulah dramatik dan mahalnya konsert Siti kali ini. Hujan yang menitis tanpa henti tidak melunturkan semangat peminat, masing-masing tidak berganjak dari kerusi semata-mata mahu menyaksikan persembahan penyanyi kesayangan mereka.

CUACA tidak menentu sama sekali tidak melunturkan fokus penonton dan tetamu VIP terus menikmati persembahan memukau Siti Nurhaliza sepanjang tiga jam konsert berlangsung.
Tidak menunggu lama, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin itu membuka persembahan dengan menampilkan aksi silat sebelum menyanyikan lagu Mahligai Permata, Rencong, Cenderamaya, Joget Kasih Tak Sudah dan Hati Yang Rindu.
Meskipun fokus adalah menyempurnakan persembahan, Siti tetap memikirkan nasib peminat yang terpaksa berhujan deminya.
Pentas terus dihangatkan dengan seleksi tradisional seperti Badarsila, Kesuma dan Di Taman Teman.
Dalam masa sama, Siti sempat memaklumkan tentang keunikan muzik tradisional tempatan yang memiliki kehebatan tersendiri setanding dengan genre muzik lain.
“Saya ingin tonjolkan irama Malaysia kita tak kalah dengan irama yang ada.
Kita patut angkat budaya kita sendiri sebab budaya kita hebat dipentaskan di pentas sangat besar,” ujarnya.
Selain menonjolkan bakat bersilat, penyanyi berusia 47 tahun itu mempamerkan sisi versatil apabila menggalas tanggungjawab sebagai tuk dalang mempersembahkan wayang kulit.

Wayang kulit, beca
Usaha Siti menggunakan dialek Kelantan semasa bermain wayang kulit yang terkenal di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu sambil menceritakan kisah Puteri Walinong Sari menangkap perhatian ramai.
“Ini pengalaman baharu saya. Itu yang membuatkan saya rasa budaya kita sangat hebat.
Ada sesuatu yang ingin saya persembahkan malam ini (Sabtu), sangat luar biasa,” ujarnya sebelum menyanyikan lagu Walinong Sari dengan diiringi tarian serta aksi silat daripada pelakon Izara Aishah.
Malam tersebut diteruskan dengan lagu Jenjang Cinta, Bintang Malam, Seri Mersing, Musalmah Manis, Bergending Dang Gong, Zapin Bunga Hutan dan Syurgaloka.
Dia juga sempat menyampaikan lagu Masri Manis sambil menunjukkan aksi menari Tarian Magunatip atau Tarian Buluh iaitu tarian tradisional warisan suku kaum Murut.

Paling mencuri tumpuan, Siti menaiki beca mengelilingi stadium sambil mendendangkan lagu Kurik Kundi, manakala pelakon Zarif Ghazzi bertindak sebagai penarik beca.
Penyanyi jemputan
Konsert bertambah meriah dengan kehadiran dua penyanyi seberang laut yang juga anak didik komposer, Allahyarham Datuk Suhaimi atau mesra disapa Pak Ngah, iaitu King Nassar dan Lesti Kejora.
Anak jati Pahang itu berduet dengan King Nassar menerusi Ikan Dalam Kolam, Seperti Mati Lampu dan Pandang Pandang, Jeling Jeling.

MEMBESAR dengan lagu Siti Nurhaliza, King Nassar menyifatkan peluang berduet dengan Biduanita Negara itu ibarat bulan jatuh ke riba.
Duet Siti dan Lesti pula terzahir menerusi lagu Kumbang Bunga dan Zapin Melayu.
Peminat turut disajikan dengan kolaborasi bersama Haziq Rosebi menerusi lagu Bergending Dang Gong dan Hati Ke Hati.
Kemuncak malam tersebut pastinya detik beraja di hati peminat apabila Siti bergandingan semula dengan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris menerusi lagu Dondang Dendang dan Hati Kama setelah lebih dua dekad tidak dipersembahkan bersama di pentas besar.

GANDINGAN semula Noraniza dan Siti selepas 26 tahun tidak berkongsi pentas mengimbau nostalgia zaman kegemilangan mereka sebagai rakan duet.
Momen tersebut mengembalikan nostalgia dan zaman kegemilangan irama Malaysia dan melihat mereka sepentas adalah perkara paling indah buat peminat.
Ada satu momen yang juga menarik untuk dikongsikan apabila montaj Allahyarham Pak Ngah dimainkan mengingatkan sumbangan besarnya dalam muzik tradisional Melayu.
Tidak dilupakan momen anak keempat dari tujuh adik-beradik itu menyanyikan lagu Pesanan Buat Diri yang baru sahaja dipilih sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25. Istimewanya, nyanyian diiringi petikan piano daripada Aubrey Suwito, pencipta melodi asal lagu tersebut.

GANDINGAN vokal mantap Siti dan Lesti Kejora yang juga anak didik Allahyarham Pak Ngah menerusi lagu Kumbang Bunga dan Zapin Melayu meraih pujian ramai.
Lebih menyentuh hati, lagu tersebut turut didedikasikan kepada Allahyarham Tun Hasmah yang menghembuskan nafas terakhir pada 28 September lalu.
Konsert melabuhkan tirai dengan seleksi lagu hit malar segar seperti Ya Maulai, Balqis, Nirmala dan Cindai yang menyaksikan seluruh stadium bergegar dengan laungan dan tarian penonton.
Persembahan epik itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh turut hadir memeriahkan acara selain dibanjiri kehadiran rakan-rakan selebriti tempatan. – HIBGLAM

