‘Harap jerebu hilang ketika AIM25 berlangsung di Kuching nanti’

SITUASI jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak tidak menghalang penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) diteruskan pada 26 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, setakat ini tiada perubahan dibuat malah malam kemuncak anugerah berprestij itu kekal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Menurut Rosmin, pihaknya berharap keadaan cuaca serta kualiti udara di Sarawak akan kembali pulih sebelum ketibaan barisan artis dan penggiat industri muzik dari seluruh negara.

Berkenaan jerebu, kami berdoa agar debu itu akan hilang ketika AIM25 berlangsung nanti. Selebihnya, kita lihat bagaimana nanti,” katanya pada sidang media AIM25 di Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Rosmin berkata demikian ketika diminta mengulas situasi jerebu di Sarawak selepas Kuching dilaporkan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 261 semalam, diikuti Serian, Sri Aman dan Samarahan.

Dalam pada itu, Rosmin memaklumkan, sambutan AIM25 bakal diterjemahkan menerusi rangkaian persembahan yang membawa penonton menyusuri evolusi muzik tempatan sepanjang 25 kali edisi penganjurannya.

Pentas AIM25 akan menghimpunkan pelbagai genre termasuk pop, rock dan balada bagi meraikan kepelbagaian warna muzik serta bakat yang mewarnai industri tanah air.

“Kami juga teruja membawa AIM ke Sarawak buat pertama kali, di samping meraikan kepelbagaian bakat dan muzik Malaysia menerusi barisan finalis tahun ini,” ujarnya.

Antara penyanyi yang bakal menghangatkan pentas AIM25 ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mimi Fly, Hujan, Adira Suhaimi, Akim Ahmad, Hael Husaini, Hafiz Suip, Anggrek, Amir Masdi, Marsha Milan, Alena Murang serta penyanyi Indonesia, Fajar Noor.

AIM25 akan dihoskan pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur, manakala Amir Jahari, Aina Abdul, Wany Hasrita, Kaka Azraff, Noraniza Idris, Yonnyboii, Iman Troye dan Lah Ahmad antara selebriti yang tampil sebagai penyampai anugerah.

Acara berkenaan akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TVS saluran 122 dan TVS Inspire. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok