PELAKON terkenal Jefri Nichol menyarankan agar kerajaan Indonesia disaman susulan kemalangan meragut nyawa tiga beradik yang berlaku di Pontian, Johor, semalam.
Pada hari kejadian, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan ke sekolah dan dipercayai tidak mengetahui sekolah ditutup selama dua hari susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
“Tolong saman kerajaan Indonesia atas sebab ini,” tulis Jefri yang mengulang siar hantaran tentang kemalangan tersebut.
Pelakon berusia 27 tahun itu sebelum ini dilihat lantang bersuara tentang kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia dan sering berkongsi tentang kejadian itu dalam akaun media sosialnya.
“Rakyat diseksa seperti rejim nazi yang mahu mengasapkan orang sampai mati. Kepada siapa lagi hendak mengadu kalau pemerintah juga buat tak tahu.
“Penat saya melihat setiap hari ada sahaja yang menjadi korban akibat kelalaian pemerintahan yang membuat keputusan bodoh.
“Harus ada yang bertanggungjawab. Kalau tiada yang dibawa ke mula pengadilan, pemerintahan yang harus dibawa,” tulisnya dalam satu hantaran lain.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terutamanya dari Malaysian mengucapkan terima kasih kepada Jefri kerana bersuara tentang isu jerebu.
“Terima kasih baby, nasib baik baby bijak. Jarang dah nak jumpa macam baby,” komen netizen.
Isu jerebu yang melanda di beberapa buah negara termasuklah Malaysia dan Singapura mendapat perhatian di peringkat global.
Pemandu kereta Formula Satu, Carlos Sainz turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan jerebu yang melanda Singapura berikutan hari perlumbaan yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober. — HIBGLAM

