Syukur bukan jatuh tersembam, kalau tak gigi patah – Siti Nurhaliza

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur kecederaan dialami selepas terjatuh lima hari sebelum konsert Gema Bumantara tidak serius memandangkan beliau bukan terjatuh dengan wajah menghadap ke hadapan.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, berkata, insiden itu mungkin menyebabkan kecederaan lebih buruk sekiranya beliau terhantuk pada bahagian muka, sekali gus memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama.

“Alhamdulillah Allah masih melindungi sayalah. Itu sahaja dapat saya katakan. Saya bersyukur sebab saya tak tersembam bahagian depan muka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kalau jatuh depan, gigi saya mungkin patah, bibir pecah semua kan, lagi perlu ambil masa yang lama untuk pulih.

“Tapi alhamdulillah (untuk dugaan ini). Jatuh pun alhamdulillah. Allah lindungi lagi dan konsert ini berjalan dengan begitu jayanya,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarham Tun Hasmah Mohamad Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Menurut pelantun lagu Anta Permana itu, keadaan wajahnya kini semakin pulih walaupun masih terdapat sedikit kesan lebam yang mengambil masa untuk hilang berikutan kulitnya yang sensitif.

Katanya, tisu pada bahagian muka juga masih terasa keras dipercayai akibat hentakan kuat ketika terjatuh, sekali gus memerlukan sedikit masa lagi untuk pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah muka saya dah makin beransur, ada lebam sikit saja lagi nak hilang sebab kulit saya ini jenis sensitif. Kalau lebam biru itu memang ambil masa lama nak hilang.

“Tinggal lagi saya rasa tisu muka ini agak keras, mungkin impak daripada hentakan yang kuat masa jatuh. Jadi untuk pemulihan, saya rasa kena buat urutan atau sebagainya,” ujarnya.

Siti berkata, ketika kejadian dia segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan bagi memastikan tiada kecederaan serius dan hasil pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati tiada kecederaan teruk.

Selepas jatuh, saya terus pergi Gleneagles untuk buat CT scan. Tiada apa-apa retak ataupun pendarahan dalaman. Doktor memang beritahu ambil masa untuk hilangkan lebam dan tisu muka saya memang luka.

“Jadi saya kena rehatlah. Sambil itu saya dapat luangkan masa dengan anak-anak tambahan pula Aafiyah sedang menjalani peperiksaan,” katanya.

Mengakui kesan lebam pada wajahnya agak ketara tanpa solekan, Siti bagaimanapun menganggap keadaan itu sebagai perkara biasa selepas seseorang mengalami insiden terjatuh.

Kalau tak mekap memang nampak lebam. Itu normal bagi saya sebab sesiapa pun kalau jatuh memang akan ada kesan lebam. Cuma kita ini perempuan, boleh tutup dengan mekap, jadi okeylah,” ujarnya.

Terdahulu, Siti terjatuh ketika menjalani latihan ketika sesi latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober lalu.

Insiden itu berlaku ketika beliau melakukan aksi melompat menggunakan kain panjang sebelum kaki tersadung lalu beliau jatuh tersembam ke lantai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok