Boleh beri pendapat, tapi jangan keterlaluan – Fasha Sandha

KETIKA isu membabitkan Malaysia dan Indonesia kembali mencetuskan perdebatan, pelakon Fasha Sandha mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menyuarakan pendapat, terutama apabila perkara tersebut menyentuh sensitiviti dua negara.

Ujar Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, perbezaan pendapat perlu diraikan secara matang tanpa mengetepikan adab dan rasa hormat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hubungan antara dua negara jiran.

“Isu ini sangat sensitif untuk diulas. Namun, bagi saya, apa sahaja perkara yang kita perkatakan, jangan sampai mengguris hati orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita boleh memberikan pendapat dan pandangan masing-masing, tetapi jangan keterlaluan kerana ada hati serta perasaan orang lain perlu dijaga,” katanya kepada HibGlam.

Bercakap mengenai isu jerebu, bintang drama Doa Yang Terlindung itu enggan mengulas secara mendalam memandangkan perkara tersebut berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Pun begitu, dia menyarankan masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga serta mengutamakan kesejahteraan diri dan keluarga ketika berdepan keadaan berkenaan.

“Pendapat saya mengenai isu jerebu ini, setiap orang perlu menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing, terutama demi keluarga.

“Ambillah langkah terbaik untuk diri sendiri serta keluarga.

“Saya tidak mahu memberikan komen terlalu jauh kerana isu ini sangat sensitif sekarang. Takut tersalah cakap, jadi lebih baik kita mendapatkan pandangan doktor,” ujarnya pada tayangan akhir drama Kasih Yang Terkorban, di sini, hari ini.

Isu jerebu dan bola sepak sering menjadi antara perkara mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan Indonesia.

Dalam situasi sedemikian, selebriti serta pempengaruh turut menjadi perhatian apabila menyuarakan pandangan di media sosial, khususnya apabila kenyataan mereka berpotensi mengundang salah faham atau menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Segelintir netizen turut memuji pendekatan artis tempatan kerana berpendapat mereka lebih berhati-hati ketika mengulas isu sensitif, selain memilih untuk memberikan sokongan kepada negara sendiri tanpa perlu memperlekeh pihak lain. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok