HASRAT penyanyi Ara Johari untuk kembali ke bilik hotel selepas bersiap menghadiri sebuah acara di Sarawak bertukar menjadi detik mencemaskan apabila lif dinaikinya tersangkut selama hampir 40 minit, Sabtu lalu.
Lebih meresahkan Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 29, berkata, lif berkenaan tersangkut di antara tingkat tiga dan empat di kawasan parkir, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan bantuan kerana lokasi itu agak lengang.
“Kejadian itu berlaku kira-kira tiga hari lalu ketika saya menghadiri sebuah acara di Sarawak. Waktu itu, saya sudah siap bersolek dan sekitar pukul 3.30 petang, saya menaiki lif untuk ke bilik sebelum tiba-tiba lif tersangkut.
Dalam lif itu ada beberapa orang lain, termasuk seorang pemuzik mengalami kecederaan dan seorang petugas perubatan. Lif tersangkut di antara tingkat tiga dengan empat di kawasan parkir.
“Kami sudah menekan loceng kecemasan, tetapi tiada siapa mendengar kerana kawasan itu tidak ramai orang lalu,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Menjaga Jodoh Orang Lain itu, keadaan menjadi lebih sukar apabila mereka mendapati telefon bimbit tidak mendapat liputan sepanjang berada di dalam lif berkenaan.
Situasi itu memaksa pengurusnya mengambil inisiatif membuka sedikit pintu lif bagi membolehkan mereka mendapatkan isyarat telefon dan menghubungi pihak luar untuk meminta bantuan.
“Pengurus saya cuba membuka sedikit pintu lif kerana langsung tiada liputan telefon di dalamnya.
“Selepas pintu berjaya dibuka sedikit, barulah kami mendapat liputan telefon dan dapat menghubungi pasukan saya serta pihak penganjur untuk mendapatkan bantuan juruteknik.
Hampir 40 minit juga saya terperangkap dalam lif itu. Apabila pintu akhirnya berjaya dibuka, kami terpaksa memanjat untuk keluar,” ujarnya pada majlis pelancaran video muzik Kisah Yang Hampir Sempurna, di sini, hari ini.
Berkongsi keadaan dirinya sepanjang insiden tersebut, Ara berkata dia tidak terlalu panik, sebaliknya lebih memikirkan tindakan perlu dilakukan bagi menghadapi situasi berkenaan.
Bagaimanapun, dia bersyukur pengurusnya ada bersama ketika kejadian kerana kehadiran individu itu sedikit sebanyak membantunya menghadapi detik mencemaskan tersebut.
“Saya sebenarnya tidak terlalu panik. Saya cuma tertanya-tanya apa perlu dilakukan dalam situasi itu. Nasib baik pengurus saya ada bersama. Kalau saya terperangkap seorang diri, mungkin saya langsung tidak tahu apa perlu dibuat.
Rasanya saya hanya akan duduk dan reda menunggu sehingga pintu lif dibuka. Nasib baik ketika kejadian tidak terlalu ramai orang berada dalam lif. Ada sekitar lima atau enam orang sahaja, jadi keadaan tidaklah terlalu sesak.
“Selepas kejadian itu, saya okey sahaja. Cuma ketika hendak pulang ke bilik, saya terpaksa menggunakan tangga kerana lif tersebut memang tidak boleh digunakan,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Ara baru sahaja melancarkan lagu terbaharunya berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna, hasil ciptaan bersama komposer tempatan, Aepul Roza dan Daus Drama Band.
Pada masa sama, penyanyi itu turut mengumumkan bakal mengadakan showcase Sedekad BersuAra Johari di Robert’s Theater, The Campus Ampang, pada 30 November ini. – HIBGLAM

