Tak perlu tiru, kita kena jadi diri sendiri – Ella

TIDAK pernah memasang niat untuk mengejar trofi, itu antara pegangan yang menguatkan semangat Ratu Rock, Ella Aminuddin dalam terus tekun mengatur langkah dalam dunia seni tanah air.

Diangkat sebagai penerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25 baru ini, Ella bagaimanapun menyifatkan penghargaan tersebut cukup bermakna selepas lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia seni suara.

Pemilik nama lengkap Nor Zila Aminuddin itu mengakui tidak pernah menyangka perjalanan panjangnya sebagai anak seni, termasuk menghasilkan karya dan menghiburkan peminat, akhirnya membawa kepada pengiktirafan sedemikian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya terharu dan bersyukur. Sebagai insan yang kecil, apabila menerima anugerah ini, sudah tentu saya berterima kasih kerana karya dan muzik saya diterima di hati peminat.

“Kalau kita minat dengan apa yang kita lakukan, ia adalah satu tanggungjawab yang besar, malah kita akan gembira dan tidak rasa ia membebankan.

“Kalau kita ada minat yang mendalam dalam industri dan kerjaya, kita akan dapat melangkah dengan lebih bersemangat,” katanya pada sidang media sebaik AIM25 melabuhkan tirai di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, Sabtu lalu.

Penganugerahan berprestij itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, perjuangan dan pencapaian cemerlang penyanyi berusia 60 tahun itu sepanjang perjalanan kariernya dalam industri muzik tempatan dan rantau ini.

Mengimbau perjalanan lebih empat dekad dalam industri muzik, Ella berkata, minat, kecintaan terhadap muzik dan sokongan peminat menjadi antara kekuatan yang mendorongnya untuk terus berkarya sehingga hari ini.

Bergerak pantas

Berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri muzik tanah air, Ella melihat landskap muzik tempatan semakin berkembang dan bergerak pantas seiring perubahan zaman, selain menyaksikan kemunculan ramai bakat baharu.

“Industri muzik semakin maju, bertambah laju dan banyak lagi karya yang bagus. Saya fikir, teruskan sahaja, terbanglah tinggi.

“Siapa yang rasa dia bagus dan berbakat, jadikan perkara ini sesuatu yang serius dan jangan berputus asa. Kalian boleh lakukannya, insya-Allah,” katanya.

Ella turut menitipkan pesanan kepada generasi baharu supaya berani membina identiti sendiri dalam berkarya, tanpa terlalu terikat untuk meniru gaya artis yang menjadi idola.

Menurutnya, menjadikan penyanyi atau artis lain sebagai sumber inspirasi bukan sesuatu yang salah, namun setiap anak seni perlu mengenal pasti kekuatan, karakter dan keunikan diri sendiri.

“Kalau mahu menjadi seseorang, awak perlu menjadi diri sendiri. Tak perlu mencari atau meniru 100 peratus gaya yang awak minati.

“Awak boleh menjadikan mereka sebagai inspirasi, tetapi awak kena cari apa yang ada dalam diri sendiri. Awak perlu lihat betul-betul dan awak boleh cipta apa yang awak suka,” katanya.

Ella yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang memulakan perjalanan seni bersama kumpulan Ella & The Boys sekitar 1985 sebelum memilih untuk bergerak solo pada 1988. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok