Deejay radio Sinar FM buat rumah 3 hari buat bapa tunggal

PENYAMPAI radio Sinar FM iaitu Sharifah Shahirah, Roy Azman dan Hefny Sahad berganding bahu bersama EPIC Homes menjayakan misi pembinaan rumah selama tiga hari di Kampung Orang Asli Kuala Pangsan, di sini baru-baru ini.

Penyertaan trio GenSINAR Pagi menerusi inisiatif GenSINAR Bina Rumah itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memperkasa komuniti, sekali gus merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Misi tersebut memberi tumpuan kepada pembinaan sebuah kediaman baharu untuk seorang bapa tunggal bersama tiga anaknya, dengan penglibatan kira-kira 30 sukarelawan pelbagai latar belakang bersama penduduk setempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Sharifah Shahirah, program berkenaan memberi perspektif berbeza mengenai erti keprihatinan masyarakat terhadap golongan memerlukan.

Bagi saya, pengalaman ini membuka mata tentang pentingnya sokongan berterusan kepada komuniti luar bandar.

“Rumah yang dibina bukan sahaja memberi keselesaan, tetapi turut membawa harapan baharu kepada keluarga ini,” katanya.

Inisiatif tersebut bukan sekadar menyediakan bumbung dan perlindungan, malah turut menerapkan kerjasama erat antara sukarelawan dengan penerima manfaat sepanjang proses pembinaan berlangsung.

EPIC Homes yang ditubuhkan pada 2010 merupakan sebuah gerakan sosial yang menggerakkan sukarelawan bagi membina kediaman selamat dan selesa buat komuniti Orang Asli yang memerlukan di seluruh negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok