JANGANLAH disebabkan ‘perang’ dalam media sosial antara netizen Malaysia dan Indonesia, animasi kesayangan ramai, Upin & Ipin pula menjadi mangsa.
Lebih mengecewakan apabila watak Susanti yang sinonim dengan persahabatan dan keharmonian turut diseret ke kancah perbalahan dua negara.
Sampai bila isu Malaysia dan Indonesia mahu dijadikan medan untuk membuktikan siapa lebih hebat?
Diva faham semangat cintakan negara tetapi jangan sampai rasa bangga bertukar menjadi permusuhan.
Upin & Ipin pula bukan sekadar animasi kanak-kanak sebaliknya karya ikonik itu sudah menjadi hiburan yang dinikmati masyarakat Malaysia dan Indonesia. Jadi, jangan kerana emosi sesaat, nilai baik yang dibawa dalam animasi tersebut turut tercalar.
Paling teruk ada yang sunting imej Susanti ditahan pihak berkuasa imigresen. Tidak elok kalau kanak-kanak melihat perkara sebegitu.
Kalau benar sayangkan Upin & Ipin, jagalah imejnya. Jangan heret animasi itu ke dalam perang media sosial yang tidak membawa apa-apa faedah.
Cukuplah berbeza pendapat. Diva pun penat melihat perang yang tidak berkesudahan ini.
DIVA: Sudah-sudahlah berbalah, jangan putuskan persaudaraan dua negara yang telah terjalin lama.

