PENYANYI dan pelakon, Farahdhiya berpendapat pertanyaan tentang kahwin tidak perlu diajukan kepada kenalan yang tidak begitu rapat.
Menurut Farahdhiya atau nama lengkapnya, Nur Farahdhiya Mohd Amin, individu yang rapat dengannya tidak pernah bertanya soalan tentang kahwin.
“Pendapat saya, kalau tak kenal rapat, tak perlu tiba-tiba secara rawak tanya soalan kenapa tak kahwin lagi?, tak nak kahwin ke?, tak ada orang nak ke?
“Sebab yang kenal rapat pun memang tak akan tanya soalan macam tu,” tulisnya dalam akaun Threads.
Tambahnya lagi, soalan seperti takkan tak ada orang nak? antara yang sepatutnya tidak ditanya.
“Lagi satu, soalan ‘takkan tak ada orang nak?’ ‘seriuslah?’ Takut kalau saya letak senarai orang yang pernah cuba saya, kot kot nama teman lelaki atau suami awak pun ada sekali.
“Jadi jangan normalisasikan tanya soalan yang terlalu peribadi. Jika anda ambil berat, sekadar doa yang baik-baik pun kita dah cukup gembira dan bersyukur sangat,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat pelantun lagu Bertakhta Di Hati Itu. Menurut mereka, pasangan yang sudah berkahwin pun sering ditanya tentang soal anak.
Soalan tentang kahwin seringkali dikaitkan dengan selebriti jelita itu memandangkan usianya kini sudah mencecah 42 tahun namun masih selesa hidup solo. – HIBGLAM

