‘Bangkitlah, selamatkan bumi, kehidupan kita sebelum terlambat’

LANTANG bersuara, penyanyi Indonesia Cakra Khan meluahkan rasa bimbang terhadap kerosakan alam sekitar terutamanya isu jerebu dan kebakaran hutan yang berlaku di Kalimantan ketika ini.

Pada masa sama, Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman, 34, menyelar sikap segelintir pihak berkuasa dan golongan elit yang dianggap tamak serta tidak mempedulikan nasib rakyat.

“Ketika ekosistem alam sudah terlalu hancur, yang akan paling merasakan adalah kita masyarakat biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi golongan kaya yang tamak dan pemimpin yang korup, mereka mampu mencari jalan melepaskan diri daripada kemusnahan alam sekitar. Kita tidak,” katanya dalam Threads.

Selain itu, pelantun lagu Mencari Cinta Sejati itu menyeru orang ramai untuk terus bersikap ambil tahu serta bangkit mempertahankan kelestarian alam.

Bangkitlah, bersuara dan selamatkan bumi, hidupan liar serta kehidupan kita sendiri sebelum semuanya terlambat,” katanya lagi.

Dalam hantaran lain, Cakra turut mendesak pihak kerajaan negaranya mengambil tindakan tegas selain meluahkan rasa kesal apabila pencemaran tersebut menjejaskan penduduk di negara jiran.

“Kerajaan, lihatlah ini semua, rakyatmu ini. Asapnya sudah sampai menganggu saudara-saudara kita di negara jiran.

Kasihan mereka yang terkena kesan semua ini, berhati-hati semua yang terkena musibah yang dibutakan orang bodoh dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Sebelum ini, Wilayah Kalimantan dan Sumatera di Indonesia berdepan kebakaran hutan dan tanah yang meluas tahun ini, dengan jerebu menjejaskan penerbangan, memaksa penutupan sekolah dan menyebabkan kualiti udara berada pada tahap berbahaya di beberapa kawasan di negara itu.

Masalah kebakaran tersebut turut memberi kesan kepada Malaysia apabila terpaksa berhadapan dengan isu jerebu yang teruk.

Setakat semalam, sebanyak 20 stesen di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok