‘Saya sudah ada ‘sijil’, Pertama dekat dengan jiwa’

SATU dekad bukan satu tempoh yang singkat, terutamanya dalam meniti denai kerjaya seni yang penuh dengan cabaran dan persaingan.

Pastinya sepanjang tempoh tersebut sarat dengan suka duka, ujian emosi serta pencarian identiti sebenar sebagai anak seni.

Selepas bertahun-tahun sekadar muncul dengan lagu-lagu single, Syamel akhirnya membuktikan kemampuannya menerusi pelancaran album sulungnya berjudul Pertama.

Perjalanan membina album tersebut turut membuka mata pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd. Fodzly selepas menerima teguran serta ‘suntikan kesedaran’ daripada syarikat rakamannya kini, Universal Music Malaysia.

“Keinginan untuk ada album bukan saya seorang sahaja. Setiap penyanyi itulah macam sijil dia.

Tapi ini bermain dengan rezeki juga. Jadi, saya dah bekerjasama dengan beberapa label dan ketika itu tak ada keinginan serta tenaga yang disalurkan daripada saya mahupun label tidak menjurus ke situ.

“Kita banyak main dengan single sehinggalah saya masuk ke Universal Music Malaysia dan mereka cakap awak ialah Syamel bukannya Syamel Ernie,” katanya kepada HibGlam semasa majlis pradengar eksklusif dan pelancaran album tersebut.

Bagi merealisasikan buah tangan sulung, Syamel menyalurkan kepakaran serta kreativiti dengan bekerjasama bersama beberapa komposer seperti Edry Abdul Halim, Aizat Amdan selain memberi ruang kepada bakat-bakat baharu.

“10 tahun itu satu perjalanan yang bagi saya sangat panjang. Saya tengok rakan-rakan artis lain pun dah keluar album.

“Tapi untuk melengkapkan album itu memerlukan lagu-lagu yang sesuai ada dalam sesebuah album.

Jadi, saya bekerja dengan ramai komposer yang hebat untuk melengkapkan album ini, antaranya Edry Abd. Halim, Aizat Amdan dan beberapa wajah-wajah baharu,” katanya.

Bagi penyanyi berusia 33 tahun itu, album sulungnya adalah platform paling tepat untuk memperkenalkan identiti muzik sebenar yang paling dekat dengan jiwanya.

“Bila orang tanya kenapa kebanyakan lagu semuanya balada dan ada dua trek sahaja tempo laju, saya rasa untuk album Pertama ini saya harus mengetengahkan siapa saya yang sebenarnya.

Itulah yang paling dekat dengan jiwa saya. Insya-Allah kalau ada rezeki untuk pergi ke album kedua dan ketiga, kita akan sentiasa bermain dengan konsep yang berlainan,” jelasnya.

Takut, tertekan

Tidak menafikan wujud rasa bimbang dan tekanan ketika mempertaruhkan album, Syamel bangkit melawan perasaan tersebut menerusi nasihat yang dipegangnya hingga kini.

“Perasaan takut kena sentiasa ada. Saya risau sebab sebelum ini keluar single, ada yang menjadi, ada yang tak.

“Inikan pula nak keluarkan album dia bagi tekanan lebih dan rasa ‘insecure’.

Tapi saya dengar satu pesanan yang mana saya ambil itu sebagai satu kekuatan iaitu ‘Kau buat lagu ini jangan fikir orang suka’.

“Buat sahaja lagu ini sebab menulis sendiri. Kalau tulis ikhlas dan jalan cerita tak dibuat-buat, insya-Allah lagu itu tak akan menghampakan,” kongsinya. – HIBGLAM

Idea Edry

Berkongsi mengenai tajuk album, pelantun lagu Hamba Cinta itu mendedahkan idea tersebut dicetuskan Edry semasa mereka berada di Manchester, United Kingdom bagi proses rakaman.

“Banyak juga saya tanya daripada Cikgu Edry. Sebenarnya dia yang memberikan nama album ini.

Semasa di Manchester, kami dah rekod semua benda dan berjalan-jalan, tiba-tiba Edry cakap ‘memandangkan ini album sulung, letak sajalah nama Pertama’.

Pertama adalah nama paling bermakna sebab tak ada lagu berjudul sebegitu, tiada orang yang letak Pertama,” luahnya.

Lebih mengujakan, Syamel teruja melihat sambutan hangat yang diterima semasa memuat naik bahagian korus sebuah lagu daripada Pertama.

“Dalam TikTok saya muat naik awal lagu ini bahagian korus, saya tak pernah sampai ke angka banyak yang orang gunakan bunyi itu.

Dalam masa dua minggu nak dekat 10,000. Pada saya, mungkin orang lain sudah biasa tapi saya tak pernah ada lagu yang mencecah ribuan dalam jangka masa pendek.

“Bila saya muat naik, ramai cakap berkenaan kehidupan mereka. Saya rasa lagu ini sampai dekat mereka, itu paling penting,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok