“SAYA harapkan keadilan dan kebenaran, doakan.”
Itu harapan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq terhadap keputusan rayuan akhir kesnya yang bakal ditentukan di Mahkamah Persekutuan selepas pukul 9 pagi ini.
Syed Saddiq atau nama sebenarnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, tiba di Istana Kehakiman Putrajaya pada jam 8.50 pagi bagi mengetahui keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya.
Segak mengenakan suit kelabu gelap, ahli politik itu terus menuju ke dewan mahkamah menyertai ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta beberapa ahli keluarga lain sebelum masuk ke kamar mahkamah.
Tunangnya juga pelakon dan penyanyi, Bella Astillah turut hadir seawal pukul 7.30 pagi memberikan sokongan moral kepadanya.
Pagi ini keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan membabitkan empat pertuduhan iaitu pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU, bakal diketahui.
Keputusan akhir yang ditangguhkan pada 30 Jun lalu ke tarikh ini penentu sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan itu dapat kekal bebas jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan atau berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.
Ia akan ditentukan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sebelum ini mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.
Pada prosiding rayuan itu, pendakwaan dibarisi Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq, 33, selaku responden diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, beliau turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.
Terdahulu, pada 30 Jun lalu Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir kepada 13 Julai ini selepas seorang daripada tiga anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana cuti sakit selama dua hari. – HIBGLAM
