Sejak lahir, saya kekal seorang Muslim – Deanna Yusoff

PELAKON terkenal, Deanna Yusoff, 59, berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian mengenai status agamanya hanya kerana sudah lama tidak muncul dalam industri seni tanah air.

Deanna menegaskan dirinya masih beragama Islam dan tidak pernah terlintas untuk menukar agama, meskipun kini menetap di Singapura serta mengamalkan gaya hidup yang sedikit berbeza berikutan latar belakang keluarganya yang berdarah campuran Melayu-Switzerland.

“Hal berkaitan agama amat peribadi untuk saya ceritakan. Ia antara saya dengan Tuhan. Namun, sejak dilahirkan, saya kekal sebagai seorang Muslim. Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menukar agama hanya kerana kini menetap di tempat lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mungkin masyarakat sedikit keliru kerana terdapat perbezaan adat dan tradisi memandangkan saya dilahirkan dalam keluarga campuran. Ibu saya orang Switzerland dan saya juga pernah membesar di sana.

“Jadi, saya berharap orang ramai tidak keliru. Saya masih Islam dan mempunyai ramai rakan Melayu yang saling menghormati antara satu sama lain. Saya harap tidak timbul andaian kononnya saya sudah keluar agama,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media kolaborasi antara BoboKL dengan platform penstriman global, Ohh! Jazz, di sini, semalam.

Lakonan

Dalam perkembangan lain, Deanna mengakui merindui dunia lakonan dan tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif sekiranya menerima tawaran watak yang bersesuaian dengan usia serta kelapangannya.

Pelakon yang pernah membintangi filem Ringgit Kasorrga, Anna and the King dan Chermin itu berkata, beliau masih menerima tawaran daripada penerbit di Malaysia dan Singapura, namun kekangan masa menjadi antara faktor utama yang menghalangnya daripada kembali ke layar perak.

“Sudah tentu saya rindu untuk beraksi di hadapan kamera, lebih-lebih lagi bidang lakonan ini merupakan cinta pertama saya.

Sebenarnya, saya amat terharu apabila masih ada peminat yang menghantar mesej dan meluahkan hasrat untuk melihat kemunculan saya dalam filem atau drama tempatan.

“Saya juga bersyukur kerana setakat ini tidak pernah putus menerima tawaran lakonan daripada penerbit Malaysia dan Singapura. Cuma, kebanyakan tawaran itu datang ketika saya tidak mempunyai kelapangan.

“Malah, sebelum ini saya pernah menerima tawaran untuk membawakan watak yang pada saya cukup menarik. Bagaimanapun, saya terpaksa menolaknya kerana kekangan masa,” katanya.

Mengakui berasa terkilan kerana terpaksa melepaskan peluang tersebut, Deanna bagaimanapun berharap dapat kembali dengan watak yang lebih berbeza dan mencabar.

Katanya, beliau tidak mahu terus terikat dengan karakter yang sama, sebaliknya menginginkan peranan yang mampu memberikan inspirasi serta memperkasakan golongan wanita berusia.

“Memang saya berasa sedikit ralat kerana terpaksa melepaskan tawaran itu memandangkan peluang seperti ini bukan selalu datang.

Namun, saya akan terus menantikan watak yang berbeza dan lebih mencabar. Saya tidak mahu asyik melakonkan karakter yang sama.

“Hakikatnya, saya bukan lagi muda. Sebab itu saya mahukan watak yang berbeza, mampu memberikan inspirasi dan memperkasakan wanita yang lebih berusia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Deanna yang turut dikenali menerusi sitkom Spanar Jaya tidak bersetuju dengan pandangan bahawa pelakon wanita berusia kurang sesuai untuk diberi peranan utama dalam sesebuah naskhah filem atau drama.

Sebaliknya, beliau berpendapat kekurangan watak yang bersesuaian dengan kelompok usia berkenaan menjadi antara faktor yang mengehadkan peluang mereka untuk terus menyerlah dalam industri seni.

“Ada sesetengah pihak berpandangan pelakon wanita yang sudah mencapai usia tertentu tidak lagi menarik untuk ditampilkan di layar perak. Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Sebab itulah, jika diberi peluang, saya mahu membawakan watak yang mampu memberikan inspirasi kepada wanita seusia saya. Watak seperti itu sepatutnya lebih banyak dihasilkan dalam skrip drama atau filem tempatan,” katanya.

Peribadi

Mengulas mengenai kehidupan peribadi, Deanna berkata, beliau selesa menjalani kehidupan seperti sekarang dan memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi perkara berkaitan dirinya kepada khalayak.

Menurutnya, sejak dahulu beliau bukan seorang yang gemar mendedahkan hal peribadi, termasuk perkara berkaitan keluarganya.

“Saya sejak dahulu bukanlah seorang yang gemar bercerita mengenai hal peribadi. Malah, saya juga tidak pernah mendedahkan perkara berkaitan keluarga atas permintaan mereka sendiri.

“Bagaimanapun, saya memahami tugas wartawan yang sentiasa mencari cerita mengenai kehidupan peribadi artis dan menghormati perkara itu.

“Cuma, saya lebih selesa untuk tidak mencampuradukkan hal peribadi dengan kerjaya. Bukan cara saya untuk berkongsi cerita peribadi secara terbuka.

“Mungkin ada artis yang selesa berbuat demikian dan saya menghormati pilihan mereka. Namun, saya selesa dengan cara ini sejak dahulu kerana sebenarnya saya seorang yang pemalu dan sangat menjaga privasi,” jelasnya.

Sementara itu, Deanna memuji inisiatif BoboKL dan Ohh! Jazz yang berusaha mengangkat bakat muzik tempatan ke persada antarabangsa.

Katanya, kerjasama tersebut membuka ruang lebih luas kepada pemuzik Malaysia untuk mempersembahkan karya mereka kepada khalayak antarabangsa, sekali gus menghubungkan industri muzik secara langsung di Kuala Lumpur dengan penonton di bandar raya seperti Tokyo, London, Sydney, Sao Paulo dan Pittsburgh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok