PELAKON Haidar Hasanuddin menegaskan pendiriannya untuk tidak mendedahkan sebarang urusan peribadi kepada umum demi melindungi privasi ahli keluarga daripada terkena tempias kontroversi dunia hiburan.
Menurut Haidar, 37, sejak melangkah masuk ke dalam industri seni, dia sudah menetapkan sempadan jelas antara kerjaya lakonan dengan kehidupan peribadi, termasuk kandungan yang dikongsikan menerusi platform media sosial.
“Sejujurnya, apabila membuat keputusan untuk berada dalam industri seni, saya memilih untuk memberikan sepenuh komitmen terhadap bidang lakonan.
“Saya memang menetapkan pendirian untuk tidak mendedahkan hal peribadi, sama ada membabitkan keluarga atau perkara lain.
Saya mahu kerjaya dan media sosial saya hanya tertumpu kepada projek atau karya yang sedang dijayakan, bakal ditayangkan atau sedang ditayangkan.
“Bagi hal peribadi, saya tetap berpegang kepada prinsip untuk tidak berkongsi atau mempamerkannya kepada umum, bukan sahaja demi diri sendiri, tetapi juga bagi menghormati perasaan dan kepentingan pihak lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbitan Viu Original, Wali Dalam Tangisan, di LMP Events Hall, di sini semalam.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Cinta Dalam Sekam itu berkata, dunia seni sentiasa terdedah kepada pelbagai spekulasi yang sukar dijangka, sekali gus mendorongnya untuk lebih berhati-hati agar orang tersayang tidak menjadi mangsa keadaan.
“Apabila kita bercerita mengenai hal peribadi, termasuk keluarga sendiri, saya tidak mahu mereka turut terkena tempias sekiranya berlaku sesuatu perkara.
“Dalam industri ini, kita tidak boleh lari daripada kontroversi. Hari ini mungkin semuanya baik-baik sahaja, tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Haidar berharap orang ramai dan peminat dapat menghormati batasan tersebut serta terus menyokong perjalanan kerjayanya berdasarkan hasil karya yang dipersembahkan.
Saya memohon semua pihak menghormati keputusan saya untuk terus berpegang pada pendirian itu. Bagi saya, privasi tetap privasi dan itu juga hak saya.
“Sebagai seorang pelakon atau individu yang bekerja di hadapan kamera, saya berharap semua pihak dapat menghormatinya kerana saya juga perlu menjaga privasi keluarga,” jelasnya.
Sebelum ini, Haidar dikenali menerusi watak Syafiq dalam drama Cinta Dalam Sekam.
Sejak itu, peminat mula mengambil tahu mengenai latar belakangnya, termasuk cuba mengorek kisah peribadi berkaitan wanita yang dikatakan istimewa dalam hidupnya

