BEKAS suami pelakon Syida Melvin, Syafiq Azim meluahkan rasa kesal apabila perselisihan faham yang berlaku antaranya dengan bekas isteri meleret ke media sosial sedangkan kes mereka sedang dalam proses perundangan di mahkamah.
Dalam masa sama, Syafiq mendakwa segala pertelingkahan berhubung isu kediaman yang pernah dihuni mereka ketika masih bergelar suami isteri adalah tidak benar.
“Saya nak terangkan apa yang berlaku adalah salah dan tak patut berlaku.
Tidak patut dimuat naik sehingga tular kerana kita masih ada prosiding mahkamah.
“Biar mahkamah yang menentukan,” katanya dalam satu sesi siaran langsung.
Selain itu, Syafiq mendedahkan dia memilih untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa bagi meredakan emosi agar tidak bertindak di luar kawalan.
“Saya kena bertenang sebab itu apabila berlaku perkara tersebut saya pilih untuk solat. Apabila solat, saya tenang.
“Kita kena solat apa pun berlaku. Solat dulu sebelum bertindak, saya ingatkan nak buat kenyataan ini esok (hari ini) tetapi saya rasa esok orang akan ingat saya jahat.
Dalam kenyataan sama, Syafiq turut menafikan beberapa dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya, termasuk isu pembayaran gaji pembantu rumah serta khabar angin mengenai insiden kekerasan fizikal.
Gaji bibik tak benar, kita bayar dua kali. Tiada orang tumbuk, dia halang laluan saya berjalan.
“Situasi tadi (semalam) tidak menyebabkan sebarang kemalangan serius melainkan jari saya berdarah dan terdapat kesan darah pada baju. Lain-lain tiada,” katanya.
Sebelum ini, Syida mendakwa sudah lapan bulan meninggalkan kediaman berkenaan bersama tiga anaknya selepas tidak lagi mampu berdepan tekanan emosi dan layanan buruk daripada bekas suami.
Syida mendedahkan dia sudah hampir lapan bulan terpaksa keluar dari rumah tersebut bersama tiga cahaya mata selepas tidak sanggup menanggung tekanan emosi serta layanan buruk.
Menurutnya, usaha mendapatkan semula ruang untuk menetap di kediaman tersebut bersama anak-anak masih menemui jalan buntu walaupun beberapa surat dihantar menerusi peguam.
Terdahulu, Syida dan Syafiq sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Syida dan Syafiq yang merupakan anak kepada Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr. Maznah Hamid berkahwin pada 19 Januari 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa. – HIBGLAM

