PELAKON Jazmy Juma percaya kemelut yang membabitkan rakan gandingannya, Puteri Balqis dan Zarif Ghazzi tidak menjejaskan sambutan penonton terhadap naskhah lakonan mereka, Dua Nyawa.
Bagaimanapun, Jazmy, 28, memilih untuk tidak mengulas lanjut memandangkan kes berkenaan sudah pun berada dalam siasatan pihak berkuasa.
“Saya tak rasa orang boikot, insya-Allah. Ini ketentuan Illahi.
“Dia yang menentukan perjalanan ini dan menjadikan benda yang jadi sekarang ini.
Tapi kalau benda lain, saya tak boleh nak ulaslah sebab benda dah melibatkan pihak polis,” katanya kepada HibGlam pada sidang media drama Viu Original terbaharu, Wali Dalam Tangisan, semalam.
Dalam masa sama, pelakon drama Nuh & Nayla itu berharap penonton dapat mengambil iktibar daripada mesej yang cuba disampaikan menerusi jalan cerita drama berkenaan.
“Untuk setiap drama yang saya buat, harapan saya orang dapat intipati sama ada kecil atau besar.
“Dalam drama itu pun banyak juga pengajarannya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pelakon Puteri Balqis juga meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.
Dia juga meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.
Pelakon yang mesra disapa Aqish itu turut mendakwa mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon terbabit berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan pelakon Zarif Ghazzi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pelakon itu melakukan gangguan seksual terhadap Puteri Balqis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Menerusi kenyataan rasmi, pihak pengurusan turut menegaskan Zarif tidak pernah melakukan sebarang perbuatan seperti yang didakwa dan kekal dengan pendirian tersebut.
Polis telah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelakon wanita, Puteri Balqis menjadi mangsa gangguan seksual seorang pelakon lelaki ketika sesi penggambaran sebuah drama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis turut akan merakam keterangan kira-kira 25 lagi saksi yang terdiri daripada kru penggambaran bagi membantu siasatan kes tersebut. – HIBGLAM

