Siti Nordiana sunyi, anak mula berdikari di asrama

PENYANYI Siti Nordiana mengakui kehidupannya terasa sunyi apabila anak tunggalnya, Muhammad Rayyan, kini melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam jurusan Asasi Perniagaan dan Teknologi Maklumat.

Biarpun berat hati melepaskan anak yang selama ini membesar di depan mata, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 42, sedar sudah tiba masanya untuk Rayyan keluar daripada zon selesa dan belajar menguruskan kehidupan sendiri.

Sebenarnya memang sunyilah duduk seorang diri, tetapi nak buat macam mana. Saya memang kena benarkan Rayyan belajar menguruskan hidup sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia ada masa depan sendiri, jadi mahu tak mahu saya kena lepaskan juga dia tinggal di asrama walaupun jaraknya dekat sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi perkembangan anaknya, pelantun lagu Memori Berkasih itu bersyukur apabila Rayyan mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama meskipun pertama kali berjauhan daripada keluarga.

“Saya nak dia belajar berdikari. Setakat ini, dia tidak mengadu apa-apa dan nampaknya boleh bertahan.

Walaupun sejak kecil dia tinggal di rumah, ini kali pertama dia berjauhan daripada keluarga. Alhamdulillah, dia boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama,” katanya.

Tambah Nana, jarak antara kediamannya dengan asrama tempat Rayyan melanjutkan pengajian tidaklah terlalu jauh. Namun, dia memilih untuk tidak terlalu kerap mengunjungi anaknya bagi memberi ruang kepada remaja itu menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

“Jarak rumah dengan asrama Rayyan tidaklah jauh. Kalau saya bosan, saya boleh sahaja ke sana.

“Tetapi biasanya Isnin hingga Jumaat, saya memang mahu dia berada di asrama untuk belajar. Saya tidak mahu mengganggu dia.

“Sabtu dan Ahad pula, kalau saya tiada persembahan, Rayyan boleh pulang ke rumah,” ujarnya.

Mengulas mengenai masa bersama yang kini semakin terhad, Nana menyifatkan perubahan tersebut sebagai lumrah kehidupan yang perlu dilalui setiap ibu apabila anak mula menginjak dewasa.

“Pada saya, perkara itu memang akan dilalui semua ibu apabila anak semakin dewasa. Jadi, saya kena merelakan dia mencari kehidupan sendiri.

“Kalau saya tiada persembahan, sudah tentu saya akan luangkan masa dengannya. Tetapi apabila bersama pun, bukanlah saya menghadap dia sepanjang masa kerana masing-masing ada urusan sendiri.

“Janji dia ada di rumah, kita boleh tengok dia dan berborak. Bagi saya, itu pun sudah cukup,” jelasnya.

Untuk rekod, Nana mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Mohd. Faizal Yusup pada 2006 sebelum berpisah pada 2009.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie, yang kini berusia 18 tahun.

Dalam perkembangan lain, Nana bakal mengadakan Konsert A Night Of Soul pada 12 Disember depan di Mines International Exhibition Center.

Selain Nana, konsert berkenaan turut menampilkan barisan penyanyi popular termasuk Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Cakra Khan, Khai Bahar dan penyanyi baharu, Nabiha Aimi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok