TERSENTUH dengan sikap romantis suaminya, pelakon Bella Astillah mengakui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sentiasa menunjukkan penghargaan terhadap dirinya menerusi perkara-perkara kecil dalam kehidupan berumah tangga.
Menurut Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, suaminya itu tidak pernah kekok meluahkan rasa sayang, malah ada kalanya secara spontan tanpa diduga.
“Sebenarnya untuk saya, tiada perkara kecil di mata saya (Saddiq lakukan), walaupun kecil tetap besar.
“Terlalu banyak tapi saya kongsikan beberapa, contohnya secara rawak menghantar mesej.
“Tiada apa-apa perbualan tiba-tiba dapat ‘I love you’ (saya sayang awak),” katanya semasa bersiaran langsung di radio Era FM.
Selain ungkapan kasih sayang, Bella turut menghargai sikap budiman suaminya yang konsisten ditunjukkan sejak awal perkenalan mereka, termasuk membukakan pintu untuknya.
“Selepas itu, dia bukakan pintu tanpa gagal sampai ke hari ini.
“Alhamdulillah, insya-Allah sampai ke pintu syurga,” katanya lagi.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Pasangan itu turut mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu.
Mereka turut meraikan penyatuan tersebut menerusi Kenduri Rakyat yang berlangsung di Muar, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah. – HIBGLAM

