PELAKON Uqasha Senrose mencuri perhatian apabila dilihat seolah-olah menyindir bekas suaminya, Kamal Adli susulan tindakan aktor itu berkongsi pengalaman melalui fasa sukar ketika rumah tangga mereka berantakan.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, menegaskan perkara berkenaan sudah lama berlalu, malah dia sendiri tidak pernah membuka mulut untuk menghebahkan kisah perceraian mereka kepada umum.
“Allahu, rasanya tidak perlu nak cerita mengenai kejadian ketika di set penggambaran.
Benda sudah lama dan saya pun sedikit pun tidak pernah menyentuh perkara itu untuk membuatkan orang simpati atau apa. Untuk apa?
“Sudahlah, saya sudah tidak sentuh (buka cerita) langsung selepas bercerai,” katanya menerusi satu hantaran dalam media sosial, semalam.
Pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu turut berkata, setiap manusia pasti berdepan detik sukar dalam kehidupan, namun dia memilih untuk tidak berkongsi kisah duka semata-mata mahu meraih simpati orang ramai.
“Setiap manusia ada waktu ‘down’ (jatuh) masing-masing, tetapi pernahkah saya berkongsi mengenainya?
“Sikit-sikit nak kongsi, mahu orang kasihan? Sudahlah,” katanya.
Difahamkan, hantaran berkenaan dipercayai merujuk kepada Kamal susulan temu bual aktor itu yang berkongsi pengalaman menjalani penggambaran filem Takluk 2: Op Daulat ketika berdepan antara fasa paling sukar dalam kehidupannya, iaitu keruntuhan rumah tangga bersama Uqasha.
Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan selebriti itu berakhir apabila Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu. – HIBGLAM

