PERCAYA rezeki menimang cahaya mata adalah ketentuan Tuhan akan hadir tepat pada waktunya, pelakon dan penyanyi, Izzue Islam mengakui dua kali menitiskan air mata apabila mengetahui berita gembira rakan seperjuangannya, Achey yang bakal bergelar bapa selepas isterinya disahkan hamil setelah 15 tahun menanti.
Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, berkata, sebelum Achey dan isteri berkongsi kepada umum, mereka sudah ‘membocorkan’ perkara itu kepadanya terlebih dahulu.
Ketika mereka membuat pengumuman itu, sebenarnya sudah kali kedua saya menangis dan kali kedua saya meraikan kegembiraan tersebut. Mereka datang ke rumah untuk buat kejutan, berpura-pura menghantar kuih bahulu atau makanan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kemudian, mereka menunjukkan sesuatu kepada Awin. Selepas itu, mereka berdua menangis. Saya pun tertanya-tanya, “Apa benda ini? Kenapa kau menangis?”
“Kemudian saya peluk Awin dan apabila melihat apa yang ditunjukkan menerusi telefon, barulah kami tahu,” katanya kepada HibGlam pada acara watch party drama, Suamiku Anak Mak di Bukit Jalil, di sini semalam.
Tumpang gembira sahabatnya itu akan menimang cahaya mata daripada benih sendiri tidak lama lagi, Izzue juga tidak menolak andai suatu hari nanti dia juga akan dikurniakan rezeki sama.
13 tahun melayari bahteri perkahwinan, tidak pernah sekalipun pemain karakter Acap dalam drama terbabit itu putus harapan untuk menimang cahaya mata sendiri.
“Saya sangat gembira untuk mereka. Saya sendiri tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa mendapatkan zuriat
“Kalau ada rezeki untuk Izzue dan Awin, mana tahu, kan? Tetapi usaha tetap perlu dilakukan. Kami tidak pernah berhenti berusaha dan tidak pernah berhenti berdoa.
Yalah, 13 tahun itu satu tempoh yang lama. Tetapi sahabat kita, Achey, selepas 15 tahun pun Allah rezekikan. Kenapa kita mahu mengatakan tidak? Kenapa kita mahu berhenti?
“Kita perlu terus berusaha. Mana tahu, mungkin lima tahun atau 10 tahun lagi, kalau dapat, dapatlah.
“Tetapi bagi saya, semuanya okey. Berdua pun okey, kalau ada zuriat pun okey. (Ketawa),” katanya lagi.
Selepas 15 tahun menanti, Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya, akhirnya bakal menimang cahaya mata sendiri tidak lama lagi apabila isterinya disahkan hamil menerusi proses persenyawaan in-vitro (IVF) yang dijalani buat kali kedua.
Malam tadi, Astro menganjurkan sesi tontonan bersama bagi drama fenomena Suamiku Anak Mak, yang menghimpunkan barisan pelakon utama bersama peminat dalam sebuah acara istimewa yang meraikan perjalanan dan kejayaan drama tersebut.
Penganjuran acara itu turut mencerminkan semangat tema Fandom yang diperkenalkan Astro tahun ini, dengan mengiktiraf peranan penting komuniti peminat dalam membentuk populariti, meningkatkan keterlibatan penonton serta menyumbang kepada kejayaan sesebuah karya televisyen. – HIBGLAM

