KUMPULAN popular Indonesia, Juicy Luicy bakal kembali mengubati kerinduan peminat tempatan menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Januari tahun depan.
Konsert anjuran AM.entertainment tersebut menjanjikan pengalaman muzikal penuh emosi menerusi rangkaian lagu bertemakan cinta, kerinduan dan perjalanan perasaan manusia yang sinonim dengan kumpulan asal Bandung, Indonesia itu.
Vokalisnya, Julian Kaisar atau Uan berkata, pihaknya amat menghargai sokongan luar biasa peminat di negara ini sejak kemunculan pertama mereka pada 2023.
“Setiap kali berpeluang membuat persembahan di Kuala Lumpur, kami sentiasa menerima sambutan yang cukup bermakna dan menjadi antara pengalaman yang kami nantikan.
“Menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur kali ini, kami ingin membawa sesuatu yang istimewa buat peminat terutamanya menerusi rangkaian lagu yang sudah menemani perjalanan muzik kami selama ini.
“Kami berharap dapat berkongsi satu malam yang penuh kenangan bersama semua yang hadir. Terima kasih kerana terus mendengar, menyokong dan menerima muzik Juicy Luicy, tidak sabar untuk kembali bertemu peminat di Kuala Lumpur,” katanya.
Ditubuhkan pada 2010, selain Uan, kumpulan yang menggabungkan elemen muzik pop dan R&B itu turut dianggotai Denis Ligia (gitar elektrik dan akustik), Zamzam Y.M (saksafon dan gitar akustik), Bina Bagja (bes) serta Eggy Ramandha (dram).
Sepanjang pembabitan dalam industri seni, mereka berjaya mengolah kisah kehidupan dan menambat hati pendengar menerusi deretan lagu hits ‘galau’ seperti Lantas, Tampar, Sialan, Tanpa Tergesa serta Lampu Kuning.
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, konsert tersebut turut menjadi ruang buat mereka meraikan perjalanan seni bersama peminat daripada pelbagai latar pengalaman menerusi lagu-lagu yang sentiasa kekal dalam ingatan.
Peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut boleh mendapatkan tiket bermula 6 November ini menerusi platform penjualan rasmi, Ticket2U.
Tiket ditawarkan pada harga RM148 (CAT 2), RM158 (CAT 4), RM168 (CAT 1), RM188 (CAT 3) dan RM300 (VIP). – HIBGLAM

