SELEPAS sebulan mendirikan rumah tangga, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengakui masih dalam fasa menyesuaikan diri serta saling mengenali kehidupan bersama suaminya, Syed Saddiq.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, berkata, tempoh sebulan bergelar isteri masih terlalu awal untuk berkongsi lebih banyak perkara mengenai kehidupan rumah tangganya kepada umum memandangkan perjalanan perkahwinan mereka masih panjang.
“Alhamdulillah, tempoh sebulan itu masih baharu dan perjalanan kami masih jauh. Saya agak risau untuk bercakap lebih-lebih. Kita hanya doakan yang terbaik.
“Ada perkara yang seharusnya saya simpan untuk diri sendiri. Namun, ketika ini, kami masih dalam proses saling mempelajari kehidupan masing-masing.
“Sebelum ini, kami tinggal berasingan. Dari segi kerjaya pula, bidang pekerjaan kami juga berbeza. Jadi, kami masih berusaha untuk saling memahami,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis karpet merah Nona Gala Awards 2026, semalam.
Mengulas mengenai kejutan berbulan madu yang dijanjikan suaminya, pelantun lagu Bersama Aku Setia Selamanya itu berkata, perkara berkenaan masih belum direalisasikan memandangkan Syed Saddiq terikat dengan komitmen tugas di Parlimen.
Sebaliknya, dia memilih untuk tidak mendesak suaminya dan mahu memberikan tumpuan kepada proses menyesuaikan diri di kediaman baharu mereka.
“Kejutan itu masih belum berlaku. Segalanya mungkin akan berlaku selepas Syed Saddiq selesai sesi di Parlimen.
“Saya juga tidak mendesak kerana memahami situasinya. Lagipun, ketika ini saya sibuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah baharu.
“Banyak perkara lain yang lebih penting untuk saya berikan perhatian. Berbulan madu itu sekadar bonus dan saya tidak akan memaksa atau kerap bertanya kepada suami,” ujarnya.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Aliff Aziz pada 9 September 2016 sebelum bercerai pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna. – HIBGLAM

