‘Mamat kita anggap sebagai satu ‘peluru’, kad disimpan’

KETIADAAN vokalis Exists, Mamat pada Konsert Slam x Exists: The Greatest Hits yang bakal berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei depan bukan disebabkan sebarang salah faham, sebaliknya sebahagian daripada perancangan strategik kumpulan itu.

Pemain bass Exists, Musa berkata, konsep persembahan kali ini meneruskan formula sama seperti konsert gabungan mereka sebelum ini di Kuala Lumpur dan Singapura yang hanya menampilkan Ezad Lazim sebagai vokalis.

“​​Sebenarnya, sebelum ini kita pernah mengadakan konsert gabungan Slam dan Exists di Kuala Lumpur serta Singapura tanpa penglibatan Mamat. Jadi, kali ini kita teruskan perancangan sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mamat kita anggap sebagai satu ‘peluru’ atau kad yang kita simpan. Kita tidak mahu buka semua kad sekali gus.

“Mungkin untuk projek lain atau siri kedua dan ketiga konsert ini nanti, kita akan tampilkan variasi berbeza supaya peminat nampak Exists sentiasa ada pembaharuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Musa, pihaknya sudah berbincang lebih awal dengan Mamat mengenai perkara tersebut dan penyanyi lagu Untukmu Ibu itu memahami situasi berkenaan.

Malah, Exists turut mempunyai perancangan tersendiri bersama Mamat menerusi beberapa undangan persembahan tertutup dalam masa terdekat.

“Dia sangat faham. Dari peringkat awal lagi kita sudah berbincang dan memang cuba melibatkannya sebanyak mungkin dalam aktiviti lain.

“Walaupun tidak terlibat dengan konsert ini, dalam masa terdekat ada dua atau tiga acara makan malam tahunan (annual dinner) yang sudah disahkan untuk kami hadiri bersama Mamat, bukan dengan Ezad,” katanya.

Sementara itu, pengasas Icon Entertainment yang juga penganjur konsert, Iman Tang, turut bersetuju dengan penjelasan tersebut dan menyifatkan ketiadaan Mamat sebagai sebahagian daripada penjenamaan konsep persembahan kali ini.

“Mamat memang sebahagian daripada sejarah Exists tetapi untuk penjenamaan The Greatest Hits kali ini, dia tidak terlibat.

“Berbeza jika saya menggunakan istilah Reunion atau Memento Mori, itu barulah bermakna semua anggota asal akan ada,” ujarnya.

Konsert Slam x Exists: The Greatest Hits dijangka menghimpunkan karya ikonik dua kumpulan berkenaan yang sehingga kini masih menjadi siulan peminat muzik tempatan.

Tiket konsert mula dijual pada 1 Disember ini, pukul 3 petang menerusi laman web www.ticket2u.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok