SELEPAS meraih kejayaan luar biasa menerusi beberapa penganjuran konsert sebelum ini, kumpulan terkenal KRU mahu meluaskan jajahan muzik dengan membuka sebuah kafe tidak lama lagi.
Berkonsep muzik dan hiburan, cetusan idea kerjasama KRU, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd, Babah Ventures Sdn Bhd (BBV) dan TMG Ventures Sdn Bhd (TMGV) yang dijangka beroperasi suku ketiga tahun ini bukan sahaja sebagai ruang menjamu selera tetapi platform mencungkil bakat baharu.
Mengangkat tema KRU yang dianggotai Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim sebagai simbolik meraikan perjalanan muzik mereka, kunjungan kafe tersebut sekali gus membangkitkan nostalgia buat peminat yang hadir.
Menurut Edry, pembukaan kafe tersebut disifatkan satu ruang untuk peminat bertemu dan beramah mesra dengan KRU.
“Kami amat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan peminat sepanjang beberapa dekad ini.
“Kafe ini merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama,” katanya.
Yusry pula menambah, kafe tersebut diharapkan menjadi platform terbaik untuk pihaknya melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mempunyai potensi besar menjadi anak seni.
“Kami juga berharap kafe tersebut dapat menjadi sebuah platform untuk mencungkil, membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu.
“Lebih daripada sekadar tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, BBV yang diasaskan bersama pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro, akan bertindak sebagai rakan strategik bagi aspek operasi serta pengembangan perniagaan kafe tersebut.
Syarikat itu kini mengendalikan hampir 60 cawangan restoran Bumbu Babah di seluruh negara.
Norman berkata, kejayaan BBV mengembangkan rangkaian restoran dalam tempoh kurang dua tahun memberi keyakinan terhadap potensi KRU Café untuk diperluaskan ke lokasi lain.
“Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang dijangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia,” katanya.
Menu yang bakal diperkenalkan akan menampilkan gabungan unik cita rasa Asia Tenggara bersama pilihan hidangan Barat popular, termasuk sajian panggang premium dan stik, sekali gus menawarkan pengalaman menjamu selera yang mampu memenuhi cita rasa pelbagai lapisan pelanggan.
Cawangan pertama KRU Café akan beroperasi di Aneka Walk, Shah Alam yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai destinasi gaya hidup yang menghimpunkan makanan, budaya, hiburan dan aktiviti komuniti. – HIBGLAM
