‘Kami rasa bangga dengan perkara positif yang dilihat sekarang’

KOMPOSER yang juga anggota kumpulan Exists, Ajai meluahkan rasa syukur dan tumpang gembira apabila mengetahui rakan seperjuangannya, Mamat yang kini sudah mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan, Hariana Harani baru-baru ini.

Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 51, dia bersama anggota Exists yang lain sentiasa mendoakan kebahagiaan vokalis berkenaan selain gembira melihat perubahan positif yang ditunjukkan Mamat ketika ini.

“Kami rasa bangga dengan perkara positif yang dilihat sekarang. Maksudnya apa yang kami doakan dan impikan selama ini menjadi realiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua orang pun boleh nampak daripada wajahnya yang lebih segar, kesungguhan, cara bercakap dan adabnya sekarang. Jadi, kami sebagai abang-abang tumpang gembira.

“Saya rasa dia memang perlukan seseorang untuk menjaganya. Anak-anak pun sudah besar, malah sudah bercucu pun. Dalam Exists, dia seorang sahaja yang sudah bergelar datuk, kami belum lagi. Jadi, harapan kami moga kali ini jodohnya berkekalan hingga ke syurga,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Slam x Exists: The Greatest Hits di sini, semalam.

Mengulas mengenai detik awal dimaklumkan tentang pertunangan tersebut, Ajai mendedahkan Mamat pada mulanya memilih untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan mereka.

“Kami ada kumpulan sembang (WhatsApp), Mamat ini dahsyat, dia berahsia!

“Bila sudah tiba masanya, baru dia beritahu. Tapi kami sudah tahu pun dan saya rasa lebih baguslah sebab dia pun tidak sunyi lagi. Sebagai abang, kami tumpang gembira dan sudah pun mengucapkan tahniah kepadanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ajai turut berseloroh menasihati sahabatnya itu agar tidak mengambil masa terlalu lama untuk melangkah ke fasa perkahwinan.

“Jangan bertunang lama-lama. Ikutkan kami suruh kahwin sahaja tapi dia ini jenis lama (old school), kena bertunang jugalah.

“Cara yang betullah kata orang, kenal hati budi dulu. Kami sudah tengok gambarnya, manislah orang pilihannya itu,” tambahnya.

Terdahulu, Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 48, selamat bertunang dengan Hariana Harani atau Yana, 41, yang merupakan seorang ibu tunggal kepada empat cahaya mata dan menetap di Kulai, Johor pada 22 November lalu.

Difahamkan, pasangan itu sudah berkenalan hampir setahun selepas dipertemukan oleh seorang kenalan.

Untuk rekod, Mamat pernah mendirikan rumah tangga dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001 sebelum berpisah pada 2009.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aleeya Mysara, 24, Mohd. Eiki Daniell, 22, dan Dylea Mysara, 20. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok