Perlahan kerjaya seni, Tasha Manshahar kini ikon misi kemanusiaan

 

PENYANYI Tasha Manshahar mendedahkan bahawa keputusannya tidak lagi aktif dalam industri hiburan tempatan adalah disebabkan memberi komitmen membesarkan anak-anak.

Menurut Tasha, peranan sebagai seorang ibu kini menjadi keutamaan dan melihat kemunculan semula dalam bidang nyanyian bukan satu keperluan buat masa ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ada peranan yang lebih besar iaitu membesarkan anak-anak. Peranan menjadi seorang ibu adalah keutamaan sekarang.

“Jadi kalau orang tanya kenapa tak buat kemunculan semula, ini kerana saya tidak rasa lagi kembali aktif sebagai satu keperluan atau keutamaan ketika ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pengetahuan anak-anak terhadap latar belakang kerjaya seni, Tasha mengakui dia tidak pernah mendedahkan mengenai kehidupannya sebagai penyanyi sebelum ini kepada mereka.

“Sejujurnya saya tidak pernah tunjuk video muzik lama atau mainkan lagu sendiri untuk bagi mereka dengar. Jadi mereka tak tahu bahawa mak mereka pernah jadi penyanyi.

“Tetapi sebab anak sudah membesar, ada juga mereka bertanya, ‘kenapa mummy nyanyi dengan lelaki ini, kenapa bukan ayah dan kenapa bercinta dengan lelaki lain dalam video'” katanya lagi.

Paling mencabar apabila anak-anaknya yang mendapat pendidikan di sekolah agama turut mula menyoal penampilan lama dia yang tidak berhijab sebelum ini.

“Dengan keadaan kita membesarkan anak zaman sekarang, rasa ingin tahu mereka sangat tinggi dan perlu ditangani dengan baik.

“Kita nak ajar anak menutup aurat itu wajib tetapi pada masa sama tak nak mereka jadi suka menghakimi orang.

“Saya cakap pada mereka, Allah belum beri kefahaman lagi, ‘macam mummy dulu tahu tapi belum faham sehinggalah doa ahli keluarga dan pembelajaran membuatkan mummy berubah'” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Tasha bersama suaminya yang juga penyanyi, Raqib Majid dan pengacara, Fedtri Yahya turut dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan Global Hayat.

Pelantikan tersebut merupakan langkah strategik Pertubuhan Global Hayat untuk memperluas kesedaran dan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam misi kemanusiaan.

Menerusi penglibatan itu, mereka turut menyokong Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2026 Rentas Sempadan yang memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan kemanusiaan di empat negara, iaitu Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman.

Misi yang dijadualkan bermula 1 hingga 11 Disember 2026 itu menyasarkan seramai 23,000 penerima manfaat melibatkan keluarga pelarian, anak-anak yatim, warga emas dan golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas sepanjang musim sejuk.

Bagi menjayakan misi tersebut, Global Hayat turut menetapkan sasaran agihan dana sebanyak RM1 juta untuk menyediakan bantuan makanan, pakaian musim sejuk, selimut, bahan api, keperluan asas keluarga serta pelbagai program kebajikan di lapangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok