CEF selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkongsi khabar mengenai tahap kesihatan ibunya Datin Paduka Umi Kalsom yang kini menghidap penyakit demensia atau nyanyuk.
Fazley atau nama penuhnya Ahmad Fadzli Yaakob, 48, berkata, keadaan ibunya menunjukkan kemerosotan yang ketara dalam tempoh dua hingga empat bulan kebelakangan ini apabila daya ingatan jangka pendeknya kini hanya mampu bertahan sekitar 30 saat.
“Buat yang mengenali ibu saya, Datin Paduka Umi Kalsom, beginilah keadaan ibu sekarang. Dia ada demensia atau orang Melayu kita panggil nyanyuk.
“Hanya memori-memori lama ibu masih mampu ingat. Dalam tempoh dua hingga empat bulan ini ingatan ibu jadi semakin singkat.
“Bermula dengan lupa di mana dia letakkan tuala, kemudian dia mula lupa kejadian-kejadian, seminggu lalu sehinggalah sekarang tinggal 30 saat sahaja memori jangka pendeknya.
Perkara yang mudah seperti membuka televisyen pun menjadi sesuatu yang asing buat ibu, walaupun baru diajar 30 saat yang lalu,” katanya dalam TikTok.
Bagaimanapun, di sebalik kekangan memori yang dihadapi, pelantun lagu Asmara Ini itu meluahkan rasa sebak apabila ibunya tidak pernah gagal melafazkan ungkapan kasih sayang kepadanya setiap hari.
“Tapi ayat yang tak pernah dia lupa untuk lafazkan ‘Ibu sayang sangat kat Paji (Fazley) tau’ sambil dia peluk saya dengan titisan air mata.
“Seolah-olah tahu bahawa pengakhirannya nanti saya pun dia akan lupa siapa. Setiap hari ibu lafazkan ayat yang sama pada saya, supaya saya kenang kata-kata keramat itu sampai bila-bila.
“Sedih, terlalu sedih. Hinggakan air mata saya tak berhenti mengalir sambil saya menulis kapsyen ini.
“‘Paji pun sayang ibu sangat tau’, balas saya setiap kali saya memeluk ibu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fazley turut menitipkan pesanan mendalam mengenai kepentingan berbakti kepada kedua-dua orang tua.
Dia turut menyifatkan restu serta kasih sayang terhadap ibu dan anak-anaknya merupakan kunci utama buat sesiapa sahaja yang ingin memenangi hatinya.
“Hanya seorang anak yang mampu memahami bagaimana pentingnya bakti yang diberikan buat seorang ibu dan ayah pastikan ingin melihat anak-anaknya disayangi serta diberikan perhatian sewajarnya.
“Awak mahu memenangi hati saya selama-lamanya? Menangi saya melalui ibu dan anak-anak dahulu serta kekalkannya,” ujarnya. – HIBGLAM

