ANA The Rayhan imbau memori silam

SIAPA tidak kenal dengan kumpulan nasyid terkemuka Raihan? Mereka pernah mencipta nama membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada 2008.

Selepas sekian lama mencorak industri seni tanah air, kumpulan legenda itu kini kembali dengan penjenamaan baharu sebagai ANA The Rayhan.

Langkah sulung mereka dalam era baharu ini diterjemahkan menerusi konsert, The Rayhan Syukur 26, yang berlangsung pada 31 Oktober lalu di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketiga-tiga anggota iaitu Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Zulfadhli Mustaza atau dikenali sebagai Afad tampil ke pentas tepat pukul 8.50 malam.

Tirai konsert dibuka dengan tayangan video montaj perkenalan yang diiringi alunan muzik pembukaan memukau, sebelum mereka ke pentas mendendangkan lagu malar segar, Assolatuwassalam dan Syukur.

Bagaimanapun, malam kemuncak itu turut diuji apabila vokalis utamanya, Nazrey secara terbuka menceritakan masalah kesihatan yang melanda dirinya saat menjelang persembahan.

Dia berdepan masalah sakit tekak dan hampir kehilangan suara, namun tetap meneruskan perjuangan demi peminat setia.

Konsert kemudian diteruskan dengan deretan lagu yang membawa penonton mengimbau era kegemilangan nasyid tanah air menerusi seleksi lagu seperti Bersatu, Damba Cintamu, Peristiwa Subuh, God Is The Light, Thank You Allah serta Bonds Of Love.

KUMPULAN nasyid legenda Raihan kini kembali dengan penjenamaan baharu sebagai ANA The Rayhan.

Suasana dewan menjadi sebak apabila sebuah video montaj khas ditayangkan sebagai penghormatan buat Allahyarham Nordin Jaafar dan Allahyarham Azahari Ahmad, dua figura penting yang pernah berjasa besar dalam membina empayar Raihan.

“Penghargaan buat arwah dan keluarga. Kami terbina dengan sahabat terdahulu. Malam ini kami ambil kesempatan meraikan kehadiran tetamu istimewa di hati kami.

“Sumbangan arwah Nordin dan Azahari bukan sebagai rakan sekumpulan tetapi sebagai keluarga.

“Walau tak berada di sini, karya mereka masih lagi dimainkan,” kata Afad.

Persembahan diteruskan dengan beberapa lagu iatu Doa Makan, Sifat 20, 25 Rasul dan 10 Malaikat sambil diiringi kanak-kanak daripada Genius Aulad.

Konsert berdurasi lebih tiga jam itu turut memanjakan penonton dengan seleksi lagu popular lain termasuk Allahu, Junjungan Mulia, Senyum serta kemunculan single terbaharu mereka berjudul Assalamualaikum.

Malam kemuncak semakin berseri apabila ANA The Rayhan turut berkongsi pentas dengan penyanyi Herman Tino, menerusi lagu Aku Milikmu serta persembahan solo Di Sini Saja.

Tidak ketinggalan, kemunculan penyanyi nasyid terkenal Seberang, Opick turut memukau penonton apabila bergandingan bersama kumpulan itu menerusi lagu Demi Masa, di samping menyampaikan lagu solo Rapuh dan Dealova.

Konsert akhirnya melabuhkan tirainya dengan penuh kesyukuran menerusi rangkaian lagu penutup iaitu Sesungguhnya, I’Tiraf, Rakan Selawat, Iman Mutiara dan Puji-Pujian yang terus kekal di hati peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok