“SAYA takut nak komen lebih-lebih, takut penyakit ain.”
Demikian pendirian pelakon Emma Maembong atau nama lengkapnya, Fatimah Rohani Ismail yang memilih untuk tidak terlalu mencanang hal percintaan dengan kekasih, DJ Kidd.
Kata Emma, dia seboleh-bolehnya mengelak untuk terlalu berkongsi perihal peribadi sebelum dikurniakan rezeki untuk sekali lagi ke jenjang pelamin dengan individu terbabit.
Tak nak la benda-benda begitu terjadi (penyakit ain). Saya dan dia inginkan perkara yang positif. Jadi, kita low-profile buat macam sekarang, itu lebih baik.
“Hubungan kami macam biasa. Nak cerita lebih pun, tiada apa yang nak dikongsikan. Kami masih bersama dan itu sahaja,” katanya Kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Ditanya sama ada dirinya sudah bersedia untuk fasa selanjutnya iaitu berkahwin dengan DK Kidd, jawab pelakon drama Suamiku Anak Mak itu, kalau sudah sampai waktu, dia sendiri akan maklumkan kepada orang ramai terutama rakan media.
“Insya-Allah, kalau ada pasti saya akan beritahu. Macam saya cakap, saya tak suka sangat kongsi hal peribadi.
“Doakanlah yang terbaik untuk kami, insya-Allah. Takkanlah benda yang baik kita nak sorok. Untuk sekarang, kita chill chill saja sebab tak nak mengundang benda tak baik macam penyakit ain.
“Di peringkat saya sekarang, memang tak suka kongsi sangat. Kalau DJ Kidd rajin di media sosial, kadang-kadang saya mencelah sedikit sahaja.
“Netizen sekarang lain macam sikit. Saya cakap dengan niat bergurau, tapi mereka ambil bulat-bulat terus kecoh begiu dan begini. Bagaimanapun, sayua faham itulah harga jadi seorang seni. Apa kita buat semua jadi bahan bualan orang walau sekecil-kecil perihal,” ujarnya.
Terdahulu, hubungan mereka bermula secara tidak disangka selepas DJ Kidd mengirim salam menerusi rakan mereka sejurus Emma disahkan bercerai.
Sebelum ini, timbul gosip mengatakan Emma sudah berkahwin dengan DJ Kidd apabila didakwa bercuti bersama di luar negara.
Namun, Emma menafikan dakwaan sudah berkahwin dan menegaskan tiada hubungan istimewa antara mereka.
Pada Oktober 2024, Emma mendedahkan sudah bercerai dengan Muhammad Shazli Azhar selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5 dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM

