‘Dulu dia kedekut, lepas kahwin minta apa sahaja semua dapat’

MENJAGA iktilat, pelakon Mimi Lana mendedahkan suaminya, Syafiq Kyle teguh memelihara batas perhubungan ketika mereka masih bergelar pasangan kekasih.

Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 31, berkata, dia pernah mengajak Syafiq pergi melancong sebelum mereka berkahwin namun aktor terbabit menolak cadangan tersebut.

“Semasa bercinta saya pernah ajak Syafiq melancong bersama, tetapi dia tak mahu pergi.

“Katanya, selagi belum berkahwin dia tak mahu pergi melancong dengan saya,” katanya menerusi sesi temu bual program audio siar Sembang Seram.

Pada masa sama, pelakon filem Polong itu mengakui percutian menjadi lebih manis apabila mereka pergi sebagai suami isteri.

“Jadi selepas berkahwin, saya rasa perkara paling seronok sekali adalah apabila dapat melancong dengan dia,” ujarnya.

Akuinya lagi, layanan diberikan insan kesayangannya itu semakin berganda selepas berkahwin malah dia menyifatkan dirinya sebagai wanita paling bertuah.

“Dulu sebelum kahwin saya rasa dia kedekut. Selama sembilan tahun bercinta, saya boleh hitung berapa kali sahaja dia bagi saya bunga atau hadiah.

“Itu pun hari jadi saya dia tak ingat. Tetapi dia selalu cakap pada saya, ‘kita tak kahwin lagi.’

“Saya percaya lelaki kalau sebelum kahwin tak buat mesti lepas kahwin pun sama. Tetapi bila saya dah kahwin dengan dia, saya minta apa sahaja semua saya dapat,” katanya.

Menerusi ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa kagum terhadap sisi positif Syafiq yang sangat menjaga bakal isteri.

Terdahulu pasangan terbabit mendirikan rumah tangga di Taiping, Perak pada 14 Februari tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok