INDUSTRI hiburan Korea Selatan bukan sekadar terkenal dengan populariti global, malah turut dikenali kerana standard etika dan imej awam yang cukup ketat terhadap barisan selebritinya.
Di sebalik kegemilangan yang dikecapi, reputasi yang dibina bertahun-tahun boleh runtuh sekelip mata apabila seseorang artis terpalit kontroversi, skandal moral mahupun kes jenayah.
Lebih parah, ada antara mereka yang bukan sahaja terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada watak yang sedang dijayakan, malah disingkirkan daripada produksi, berdepan tindakan undang-undang dan berakhir di sebalik tirai besi.
Daripada bintang yang pernah menjadi pujaan ramai kepada nama yang akhirnya terpalit kontroversi, berikut lima pelakon Korea Selatan yang menyaksikan perjalanan kerjaya mereka berubah drastik ‘melingkup’ akibat skandal dan isu peribadi.
Lee Kyung-young

PADA 2002, aktor veteran Korea Selatan, Lee Kyung-young didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan melanggan pelacur bawahan.
Dia memanipulasi serta mengeksploitasi seorang calon pelakon bawah umur untuk melakukan hubungan seks dengan menawarkan janji peranan dalam projek lakonan.
Atas perbuatan terkutuk tersebut, lelaki berusia 65 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan.
Selain itu, dia turut dikenakan tindakan sekatan (banned) daripada muncul dalam semua program di semua stesen penyiaran Korea sehinggalah sekatan tersebut ditarik balik saluran MBC pada 2014.
Selepas beberapa tahun terpuruk, Kyung-young bagaimanapun berpeluang melakukan kemunculan semula dan mengusahakan perniagaan pusat cuci kereta.
Jang Mi-inae

PADA awal penularan pandemik Covid-19, Korea Selatan berdepan lonjakan kes yang sangat membimbangkan.
Bagi meringankan beban rakyat, Presiden Korea Selatan ketika itu, Moon Jae-in meluluskan dasar bantuan kewangan kecemasan khusus untuk keluarga berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, pelakon Jang Mi-inae memuat naik kenyataan dalam media sosial peribadinya yang mengkritik keras dasar bantuan kerajaan tersebut.
Tindakannya tersebut mengundang kemarahan netizen yang menganggap sikapnya tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat.
Ekoran kecaman yang bertubi-tubi, wanita berusia 42 tahun itu akhirnya membuat keputusan drastik untuk terus bersara daripada dunia lakonan.
Lee Seo-won

PELAKON Lee Seo-won didakwa atas kesalahan jenayah gangguan seksual terhadap seorang artis wanita pada 2018.
Berdasarkan laporan, Seo-won bukan sahaja melakukan gangguan seksual, malah turut mengugut mangsa menggunakan sebilah pisau ketika berada dalam keadaan mabuk.
Meskipun pelakon berusia 29 tahun itu mengaku bersalah atas perbuatannya, reputasinya hancur serta-merta dan dipandang serong masyarakat.
Akibat insiden tersebut, dia tidak lagi menjadi pengacara program Music Bank dan digugurkan daripada barisan pelakon drama About Time.
Sebelum insiden memalukan ini, dia pernah membintangi drama popular seperti Uncontrollably Fond, Hospital Ship dan The Liar and His Lover.
Lee Tae-im

PADA 2015, nama Lee Tae-im menjadi bualan hangat selepas tersebarnya video insiden dia memaki dan bergaduh dengan penyanyi Yewon.
Kejadian tersebut memberi kesan mendalam terhadap psikologinya sehingga dia mengalami kesukaran untuk berinteraksi dan mempercayai orang lain.
Kariernya semakin merundum sehinggalah pada 2018, dia mengumumkan kehamilan dan perkahwinannya dengan seorang ahli perniagaan.
Menerusi satu hantaran dalam Instagram, wanita berusia 40 tahun itu mengejutkan pihak agensinya apabila mengumumkan persaraan sepenuhnya daripada industri hiburan.
Tidak lama kemudian, suaminya pula dilaporkan dipenjarakan atas kesalahan penipuan berkaitan manipulasi dan melambungkan harga saham syarikat secara haram.
Kang Ji-hwan

PADA 2019, pelakon Kang Ji-hwan ditahan pihak polis di kediamannya selepas menerima laporan bahawa dia melakukan keganasan dan serangan seksual terhadap dua orang petugas wanita ketika mereka sedang tidur.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku semasa dia berada dalam keadaan mabuk.
Susulan penangkapannya, lelaki berusia 49 tahun itu membatalkan semua jadual kerja dan mengaku bersalah di mahkamah.
Meskipun sempat mengubah kenyataan, pelakon filem Runway Cop itu akhirnya mengakui sebahagian besar tuduhan tersebut.
Pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun enam bulan yang ditangguhkan kepada tiga tahun tempoh percubaan (probation) terhadapnya.

